Skip to main content

Politik

Sidang DUN Khas Johor: Tanya Menteri Besar - Puad Zarkashi

ISKANDAR PUTERI, 30 Nov -- Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.  --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Speaker DUN Johor. - Gambar fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata beliau belum dimaklumkan mengenai dakwaan sidang dewan khas bagi pembubaran DUN pada 24 Jun ini seperti yang dilaporkan media.

Beliau ketika dihubungi Bernama semalam berkata perkara itu lebih wajar disahkan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Tanya Menteri Besar, saya pun belum tanya Menteri Besar. Mungkin ada bajet tambahan untuk Bantuan Kasih Johor bagi golongan yang terlepas pandang,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Spekulasi mengenai sidang DUN khas yang dikaitkan dengan pembubaran DUN timbul selepas tular jemputan makluman awal kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) berhubung sidang berkenaan pada tarikh itu.

Pada Sabtu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menerusi hantaran di Facebook mengumumkan BN akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor mengenai hala tuju parti menjelang pilihan raya berkenaan.

Penggal pentadbiran kerajaan negeri Johor dijadualkan berakhir pada April 2027.

-- BERNAMA

 



 

Must Watch Video