KUALA LUMPUR: Rakyat dilihat semakin matang dalam menilai tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melancarkan manifesto baharu menerusi parti politik mereka, Parti Bersama Malaysia (Bersama), tegas Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin.
Katanya, rakyat ketika ini sudah muak dengan drama politik berpanjangan dan lebih mahukan pemimpin yang benar-benar bekerja serta memikul amanah diberikan.
"Rakyat tidak lagi mudah terpengaruh dengan persepsi atau formula politik yang dicanang ketika menjadi pembangkang tetapi gagal diterjemahkan apabila diberi peluang mentadbir negara. Sebahagian besar formula ekonomi, naratif reformasi dan draf manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga lahir daripada kelompok Rafizi sendiri.
"Rafizi sendiri diberikan portfolio paling penting iaitu Menteri Ekonomi. Beliau berada dalam posisi terbaik untuk membuktikan segala formula dan janji yang pernah beliau lontarkan selama bertahun-tahun kepada rakyat.
“Maka sudah tentu rakyat hari ini akan menjadikan rekod prestasi beliau sebagai kayu ukur untuk menilai sama ada manifesto baharu atau formula baharu yang mahu dibawa selepas ini benar-benar boleh dipercayai atau sekadar retorik politik kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui ketua umumnya, Rafizi dan Nik Nazmi menggariskan 12 agenda utama yang disifatkan sebagai manifesto awal parti itu sempena pelancaran kepimpinan baharu mereka.
Agenda tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk keselamatan sosial, pendidikan, perumahan dan alam sekitar.
Antara cadangan dikemukakan ialah mewujudkan sistem keselamatan sosial negara yang membolehkan semua isi rumah menerima bantuan bulanan berdasarkan pendapatan, umur dan bilangan tanggungan.
Selain itu, Bersama turut menyasarkan pertumbuhan ekonomi negara serta peningkatan gaji rakyat sekurang-kurangnya lima peratus setiap tahun.
Dalam pada itu Danish menegaskan, rakyat kini menilai pemimpin berdasarkan hasil kerja, keberkesanan dasar serta kemampuan menyelesaikan masalah sebenar rakyat dan bukannya sekadar petah berpidato di pentas ceramah atau media sosial.
“Sebab itu saya yakin rakyat semakin bijak membezakan antara propaganda manis dan kerja yang benar-benar tuntas.
“Tiada mana-mana individu lebih besar daripada perjuangan parti. Kerusi yang dimenangi atas kekuatan logo dan parti akan terus dipertahankan oleh PKR serta AMK.
"Kita yakin rakyat akan membuat penilaian matang dan akhirnya menghukum mereka yang memilih percaturan politik peribadi melebihi amanah rakyat dan kestabilan negara,” katanya.
Pada Ahad, Rafizi Ramli bersama Nik Nazmi mengumumkan mengambil alih Bersama, sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Bersama didaftarkan pada Disember 2016 dengan matlamat menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang.