JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mendakwa kejayaan ekonomi Johor yang sering diketengahkan pentadbiran Barisan Nasional, tidak tepat sepenuhnya, kerana manfaat pertumbuhan tersebut masih belum dinikmati secara seimbang oleh seluruh rakyat.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata, di sebalik pertumbuhan ekonomi negeri yang memberangsangkan, persoalan yang perlu dijawab ialah, sejauh mana hasil pertumbuhan tersebut benar-benar dirasai rakyat di semua daerah.
Berucap ketika melancarkan Manifesto Harapan Johor – Johor untuk Semua di sini hari ini, beliau mendakwa, pembangunan ekonomi negeri tidak boleh lagi tertumpu kepada beberapa kawasan tertentu, sebaliknya perlu diperluaskan ke seluruh Johor melibatkan kawasan utara, tengah, timur dan selatan.
"Pembangunan yang ingin dirancang oleh pentadbiran nanti adalah ingin melihat dan memastikan seluruh Johor, daripada utara Johor, selatan Johor, timur Johor, kawasan pertengahan Johor, dirancang dan direncana ke arah pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Amirudin berkata, terdapat jurang ketara dari segi pendapatan antara kawasan yang berkembang pesat seperti Johor Bahru dengan beberapa daerah lain termasuk Mersing dan Benut.
Menurutnya, walaupun Johor Bahru merekodkan pendapatan purata melebihi RM8,000, sebahagian kawasan lain masih berada pada paras sekitar RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
"Mersing, kawasan perkampungan, pembangunan nelayan, terkenal dengan kawasan pelancongan dan sebagainya, pendapatan purata rakyat pada kadar RM4,000.
"Benut, kampung saya. Pendapatan puratanya lebih kurang RM4,000, hampir RM5,000,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Amirudin, yang juga Menteri Besar Selangor berkata, falsafah pembangunan baharu yang ingin dibawa PH adalah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara lebih adil kepada semua rakyat tanpa mengira lokasi.
"Johor yang adil kepada semua, pembangunan ekonomi yang adil kepada semua. Bangunkan setiap lokaliti dan daerah," tegasnya lagi.
Dalam masa sama, Amirudin turut memberi bayangan bahawa sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor, kerajaan negeri baharu akan membentangkan pelan pembangunan komprehensif dalam tempoh tiga hingga enam bulan.
Katanya, rancangan itu akan memberi fokus kepada penciptaan peluang pekerjaan baharu, peningkatan pendapatan rakyat serta pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.
Beliau turut menegaskan Menteri Besar yang bakal diterajui PH akan menjadi pemimpin untuk semua kawasan tanpa mengira latar politik.
"Menteri Besar kita nanti adalah Menteri Besar untuk semua. Menteri Besar untuk semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Besar untuk semua daerah yang kita nak bangunkan."