KUALA LUMPUR: Penduduk Parlimen Setiawangsa akan terus menerima perhatian dan sokongan daripada kerajaan meskipun berlaku kekosongan kerusi berikutan pengumuman peletakan jawatan wakil rakyatnya, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata demikian sambil merakamkan penghargaan terhadap khidmat Nik Nazmi kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
“Saya merujuk kepada pengumuman Nik Nazmi semalam untuk mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Setiawangsa. Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hannah menegaskan bahawa semua perkhidmatan di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan kepada penduduk Setiawangsa.
Beliau turut memaklumkan bahawa Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud telah diarahkan untuk memperkukuhkan peranan Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu tempatan serta memastikan setiap aduan dan keperluan penduduk diberi perhatian segera.
"Langkah itu termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh peralihan tersebut.
"Dalam masa sama, penduduk Setiawangsa boleh terus berurusan atau mengemukakan aduan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di D’Wangsa, 1, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju, yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat.
"Aduan juga boleh dibuat melalui talian 03-4142 2740 atau emel [email protected]," ujarnya.
Semalam, Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi mengumumkan akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Kedua-dua mereka berkata akan memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Hannah turut menegaskan komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha berterusan memelihara dan melindungi Bukit Dinding agar kekal sebagai kawasan hijau serta “paru-paru hijau” Kuala Lumpur untuk manfaat penduduk setempat.
“Usaha ini akan diteruskan demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan penduduk,” katanya.