Skip to main content

Politik

Isu parti Wawasan Negara antara agenda mesyuarat tergempar PN - Annuar Musa

Sumber: Sinar Harian
Annuar berkata, perbincangan itu juga dijangka menyentuh strategi memperluaskan kerjasama politik dan memperkukuh jaringan sokongan PN di Sabah dan Sarawak. - Gambar fail/ Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dijangka membincangkan beberapa perkara berkaitan pengukuhan gabungan itu dalam mesyuarat tergempar yang berlangsung di Ibu Pejabat Agong Pas, malam ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat yang dijadual bermula pada jam 8.30 malam itu juga turut dijangka menyentuh isu penyertaan beberapa parti politik dari Parti Wawasan Negara ke dalam gabungan berkenaan.

"Kita akan membincangkan soal-soal dalaman parti memandangkan kita berdepan Pilihanraya Negeri (PRN). Ya kita berkemungkinan akan bincang juga soal parti Wawasan," katanya ketika ditemui media di Pejabat Agong Pas di sini, pada Isnin. 

Bagaimanapun, Annuar menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung penyertaan parti-parti tersebut.

"Itu hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan itu," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, perbincangan itu juga dijangka menyentuh strategi memperluaskan kerjasama politik dan memperkukuh jaringan sokongan PN di Sabah dan Sarawak.

Pada Ahad, PN menerusi kenyataan media memberitahu akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keanggotaan parti gabungan PN di Pejabat Agung Pas di ibu negara pada malam Isnin.

Mesyuarat itu dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam berdasarkan notis yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun lalu. 

Sidang berkenaan akan berlangsung berdasarkan Fasal 10 (Pemberitahuan Mesyuarat dan Agenda) dan Fasal 12 (Kekerapan Mesyuarat).

Notis tersebut turut diedarkan kepada Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan empat Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Punithan Paramsiven dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Agenda (adalah berkaitan) keanggotaan PN," katanya.

Antara isu yang dijangka dibentangkan dalam mesyuarat tergempar itu adalah mengenai penggunaan nama gabungan itu.

Sebelum ini, PN menegaskan sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan pengerusinya.

Menurut Takiyuddin, ketetapan tersebut untuk memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu pada 22 Februari lalu.

Pelantikan itu dibuat selepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari, selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Must Watch Video

Advertisement