Skip to main content

Politik

Bersatu bantah PCM sertai PN, dakwa proses tidak ikut prosedur – Faizal Azumu

71691495305_TBFaizalAzumu.jpg
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah keras tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar yang didakwa memaksa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan.

“Bantahan dibuat atas dasar PN sedang menghadapi masalah sesama parti anggota apabila Pas memutuskan hubungannya dengan Bersatu. 

"Dalam keadaan masalah ini belum selesai, penerimaan parti baharu yang dipimpin oleh bekas ahli-ahli Bersatu yang telah dipecat akan menambah masalah dalaman PN,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Faizal berkata, permohonan penyertaan ke dalam PN dikemukakan Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi mendapati jawatan tersebut bagi sesi 2026-2027 disandang Yeo Kwee Kwang.

Lebih mengelirukan, katanya, dokumen kepimpinan yang dikemuka menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama Parti Cinta Malaysia.

Tambah beliau, berdasarkan semakan pada Isnin, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), dan ia satu kesalahan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Beliau memaklumkan, wakil Bersatu turut membangkitkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 22 Jun lalu yang menyatakan beberapa dokumen dikemuka Setiausaha Agung PN kepada jabatan itu didapati tidak lengkap selain tidak ditandatangani.

Katanya, berdasarkan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, RoS telah mengarahkan PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari dan berhak menangguhkan pertimbangan terhadap rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua isu berbangkit diselesaikan.

Pada Isnin, Ahmad Samsuri mengumumkan PN menerima penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PCM sebagai anggota baharu gabungan itu selepas mesyuarat yang turut dihadiri wakil Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Must Watch Video

Advertisement