KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata perkara itu dimaklumkan selepas gabungan berkenaan menerima maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung perubahan kepimpinan dan pentadbiran parti pada hari ini.
“Justeru, adalah dipertegaskan bahawa sebarang aktiviti mahupun mesyuarat yang menggunakan nama PN tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan keizinan Pengerusinya,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.
Takiyuddin berkata maklum balas ROS itu mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari 2026.
Menurut beliau, ROS turut mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi yang meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini serta pelantikan pengerusi baharu gabungan berkenaan.
Pada masa sama, ROS mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac lalu.
Penerimaan itu turut merangkumi senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk direkodkan oleh jabatan berkenaan.
“Sehubungan itu, PN kekal komited dalam memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah poster yang memaparkan slogan "Kerahan Mobilisasi Segera: Himpunan PN Bangkit".
Poster itu turut menggesa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kembali memegang jawatan Pengerusi Majlis Tertinggi PN.
Poster itu turut menyeru penyokong Muhyiddin supaya hadir dengan mengenakan pakaian berwarna biru serta membawa bendera PN ke hadapan Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya pada jam 8 malam ini sempena Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Untuk rekod, Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN pada Februari lalu selepas melepaskan jawatan Pengerusi gabungan itu pada 1 Januari 2026.