DUNGUN: Seorang wanita yang dilaporkan terjatuh dari jambatan Sungai Paka di Jalan Jabor-Paka berhampiran Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata Nor Haslini Din, 47, yang mengalami masalah mental ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat pada 10.30 pagi.
“Mayat ditemukan tersangkut pada ranting kayu kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Wanita itu dilaporkan terjatuh dari jambatan berketinggian 45 meter pada 10.30 pagi semalam.
Nik Ab Halim berkata mayat dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Sementara itu, bapa mangsa Din Zakaria, 77, berkata terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan anaknya walaupun bergegas ke jambatan yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya selepas melihat anak bongsu daripada enam beradik tersebut terjatuh.
“Saya hanya mampu melihat Nor Haslini terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus deras dan tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Din bagaimanapun bersyukur mayat anaknya ditemukan hari ini.
-- BERNAMA