Skip to main content

Malaysia

Vamos Next 2026 buka laluan pendidikan, kerjaya dalam industri e-sukan

VAMOS 2026_TB
Majlis menandatangani kerjasama strategik antara Team Vamos dan rakan industri sebagai sebahagian daripada pelancaran Vamos Next 2026 bagi memperkukuh pembangunan bakat, pendidikan dan ekosistem e-sukan negara. - Gambar Team Vamos

KUALA LUMPUR: Team Vamos memperkenalkan Vamos Next: The Villain Gameplan 2026 sebagai pelan hala tuju baharu untuk mengembangkan organisasi itu daripada sebuah pasukan kompetitif kepada ekosistem e-sukan yang lengkap.

Inisiatif itu turut membuka laluan lebih tersusun kepada generasi muda untuk membina kemahiran, memperoleh pengiktirafan profesional dan meneroka peluang kerjaya dalam industri e-sukan.

Pengarah Eksekutif Vamos Esport Sdn. Bhd., Muhammad Hanan Aziz, berkata hala tuju baharu itu bukan lagi hanya berteraskan pencapaian dalam pertandingan, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan generasi muda.

“Empat musim yang lalu, kami membina sebuah pasukan. Hari ini, kami membina sebuah ekosistem.

“Matlamat kami bukan lagi sekadar memenangi kejuaraan, tetapi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda Malaysia melalui e-sukan,” katanya.

Antara fokus utama Vamos Next 2026 ialah memperluas pembangunan e-sukan ke kawasan luar bandar menerusi kerjasama bersama Majlis Belia FELDA Malaysia dan FELDA.

Kerjasama itu akan dilaksanakan melalui TERROCA, sebuah platform pembangunan komuniti yang merangkumi TERROCA Youth Hub, TERROCA Academy, TERROCA Café serta program dan kejohanan di wilayah FELDA.

“Pertama sekali, kalau kita melihat bagaimana e-sukan ini berkembang, kita dapati ia banyak berkembang di kawasan bandar.

“Jadi, tujuan utama kolaborasi Team Vamos dengan Majlis Belia FELDA Malaysia adalah untuk memberi tumpuan dan memperkenalkan e-sukan di kawasan luar bandar juga,” jelasnya.

Image
VAMOS 2026_INSERT
Barisan pemain profesional Team Vamos diperkenalkan pada pelancaran Vamos Next 2026, yang turut menandakan peluasan pasukan ke divisyen PUBG Mobile dan Free Fire bagi mengukuhkan daya saing di pentas antarabangsa. - Gambar Team Vamos

Dalam aspek pembangunan bakat, Vamos Academy turut dilancarkan sebagai platform yang menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya dalam industri e-sukan.

Menerusi kerjasama dengan Malaysia Esports Federation (MESF), akademi itu akan melaksanakan program pencarian bakat di sekolah, selain memberi tumpuan kepada pengiktirafan modul dan pensijilan.

Presiden Malaysia Esports Federation, Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, kerjasama itu juga akan diperluas melalui program pembangunan akar umbi dan penganjuran Malaysia Esports Crew Championship.

“Kita sebagai Malaysia Esports Federation mengeluarkan pengiktirafan pensijilan kepada mana-mana pemain ataupun peminat yang mahu menceburi bidang TVET e-sukan.

“Vamos merupakan salah satu rakan kongsi kami dan antara usaha seterusnya ialah Malaysia Esports Crew Championship yang akan diumumkan kemudian,” ujarnya.

Image
VAMOS 2026_INSERT
Wakil Team Vamos, pemain profesional serta rakan strategik bergambar selepas pelancaran Vamos Next 2026- Gambar Team Vamos

Sementara itu, kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) pula memperkenalkan laluan TVET Gamerz MADANI yang merangkumi program daripada peringkat asas hingga lanjutan, peluang menyambung pengajian dan penempatan kerjaya dalam industri e-sukan.

Pengarah TVET UUM, Prof. Shanusi Ahmad berkata, platform itu memberi peluang kepada pemain berpengalaman untuk mendapatkan pengiktirafan kemahiran dan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Satu bentuk platform yang akan memperjuangkan bakal pemain profesional, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Mereka yang telah bermain selama lebih tiga tahun juga layak diperakukan,” katanya.

Selain pendidikan dan pembangunan komuniti, Team Vamos turut mengembangkan organisasi itu kepada divisyen PUBG Mobile dan Free Fire bagi membuka lebih banyak peluang kepada pemain, jurulatih dan komuniti e-sukan tempatan.

Vamos Next 2026 juga merangkumi pengenalan Warung Vamos, platform digital hasil kerjasama dengan Lapak Gaming yang akan menjadi saluran rasmi penjualan kredit permainan dan produk digital Team Vamos.

Must Watch Video

Advertisement