Skip to main content

Malaysia

Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima mengadap PM

PERTEMUAN PEMANGKU SULTAN JOHOR DAN PERDANA MENTERI BERLANGSUNG DALAM SUASANA MESRA DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Dalam sesi mengadap, Tunku Mahkota Ismail dan Datuk Seri Anwar turut bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat, pembangunan serta kesejahteraan rakyat. Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Pemangku Sultan Johor berlangsung di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (22 Jun).
Dalam sesi menghadap itu, Tunku Mahkota Ismail dan Anwar turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk keperluan agar Kerajaan Persekutuan terus komited terhadap pembangunan Johor demi menjamin kesejahteraan rakyat negeri itu. - Gambar Facebook HRH Crown Prince of Johor

KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Istana Bukit Tunku, di sini, pada Isnin.

Menerusi perkongsian di Facebook HRH Crown Prince of Johor, pertemuan itu menyentuh pelbagai perkara berkaitan kepentingan rakyat, pembangunan serta kesejahteraan masyarakat.

Dalam sesi menghadap itu, Tunku Mahkota Ismail dan Anwar turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk keperluan agar Kerajaan Persekutuan terus komited terhadap pembangunan Johor demi menjamin kesejahteraan rakyat negeri itu.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Johor.

"Terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri atas perhubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Johor.

"Saya turut bertukar pandangan dengan Perdana Menteri berhubung Kerajaan Persekutuan yang harus sentiasa komited dengan pembangunan Negeri Johor demi kesejahteraan rakyat Johor," titah baginda menerusi hantaran berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil yang dikutip daripada Johor secara lebih munasabah bagi membolehkan pembangunan negeri serta kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Baginda dipetik bertitah bahawa Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan semula kepada negeri itu bagi memenuhi keperluan hampir lima juta penduduk.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian pada sesi bersama rakyat Johor, Sabtu lalu, ketika mengulas kenyataan Anwar yang sebelum ini dilaporkan menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi masih berdepan masalah ketirisan atau 'kebocoran'.

Must Watch Video

Advertisement