BEIJING: Presiden Donald Trump mengakhiri lawatan rasminya ke China selepas menghadiri pertemuan terakhir bersama Presiden Xi Jinping di Beijing pada Jumaat.
Lawatan selama dua hari itu menjadi perhatian dunia kerana berlangsung ketika ketegangan geopolitik dan konflik Asia Barat terus memuncak.
Sepanjang lawatan tersebut, kedua-dua pemimpin mengadakan beberapa siri rundingan tertutup melibatkan perdagangan, keselamatan serantau serta hubungan dua hala antara Washington dan Beijing.
Walaupun beberapa persefahaman ekonomi berjaya dicapai, hubungan kedua-dua negara masih dibayangi isu sensitif termasuk Taiwan.
Dalam pada itu, Jinping dilaporkan memberi peringatan tegas kepada Trump supaya tidak memandang ringan isu Taiwan yang dianggap sebagai kepentingan teras China.
Menurut beliau, sebarang kesilapan dalam mengendalikan perkara itu berisiko menjejaskan kestabilan hubungan antara dua kuasa besar dunia berkenaan.
Trump pula dilihat cuba menggunakan lawatan itu untuk memperkukuh imej politiknya menjelang pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat.
Ia juga merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke China sejak kunjungan terdahulu pada tahun 2017.
Kedua-dua pemimpin menghabiskan sesi akhir lawatan dengan menghadiri jamuan makan tengah hari serta pertemuan santai sebelum Trump berlepas pulang ke Washington.
Trump mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyuarakan harapan agar hubungan antara AS dan China akan menjadi lebih kukuh selepas siri rundingan tersebut.
Sidang kemuncak itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kestabilan perdagangan antara kedua-dua negara selepas ketegangan tarif sebelum ini.
Washington sebelum ini menggantung beberapa tarif terhadap produk China bagi mengelakkan perang dagang terus meruncing.
Jinping memaklumkan rundingan ekonomi yang berlangsung menunjukkan perkembangan positif dan lebih seimbang untuk kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan secara terbuka butiran penuh persefahaman yang dicapai dalam rundingan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata China bersetuju meningkatkan pembelian produk pertanian, daging lembu serta pesawat keluaran Amerika.
Trump turut mengumumkan Beijing akan menempah sebanyak 200 pesawat Boeing dalam urus niaga terbesar antara kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu.
Selain isu perdagangan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan keselamatan laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.
Mereka menyatakan keperluan memastikan laluan tersebut kekal terbuka di tengah konflik Asia Barat yang semakin tidak menentu.
Dalam masa sama, Trump turut membangkitkan isu kebebasan media di Hong Kong termasuk kes melibatkan tokoh media Jimmy Lai yang dipenjarakan sebelum ini.
Jinping pula menegaskan hubungan China-AS perlu terus dipertahankan kerana kestabilan dunia banyak bergantung kepada hubungan antara dua kuasa besar tersebut.