IPOH: Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana warga tempatan yang didapati menyewakan premis perniagaan mereka kepada pelarian Rohingya bagi menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah di Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata hal ini kerana lesen perniagaan yang dikeluarkan pihak berwajib kepada mana-mana individu tidak boleh dipindahkan atau digunakan oleh pihak lain sama ada warga tempatan mahupun warga asing, termasuk pelarian.
“Perkara ini kebiasaannya berada dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akan dilaksanakan mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.
“Dalam keadaan tertentu, ada rakyat tempatan yang mengambil jalan mudah dengan menyewakan premis mereka berbanding mengusahakan perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Ke-4 2026 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani berkata sekiranya berlaku pelanggaran, ia merupakan satu kesalahan syarat lesen dan boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan lesen di bawah bidang kuasa PBT.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.374 juta sebagai insentif kepada 324 pesara kerajaan yang menamatkan perkhidmatan dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2025.
Beliau berkata pemberian insentif itu melibatkan pesara perkhidmatan awam negeri, PBT serta badan berkanun negeri yang layak sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.
“Kesemua pesara akan menerima RM4,000 seorang dalam bentuk Sijil Simpanan Premium (SSP),” katanya.
-- BERNAMA