Skip to main content

Malaysia

Subsidi produk petroleum dijangka hampir RM40 bilion tahun ini - MOF

KUALA LUMPUR, 26 Mac -- Kerajaan akan melaksanakan penyelarasan sementara kelayakan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.  Beliau juga berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah meningkat.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA
Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026. - Gambar hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion tahun ini berikutan kenaikan harga minyak dunia yang dipacu oleh ketegangan geopolitik dan konflik Asia Barat, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut MOF, kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.

“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” menurut MOF dalam jawapan bertulis bertarikh 30 Jun yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung jumlah terkini peruntukan untuk subsidi petrol dan diesel.

Menurut MOF, peningkatan jumlah subsidi ini membolehkan warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas layak menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 sen seliter. 

“Bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi,” menurutnya.

MOF memaklumkan Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan untuk tempoh jangka panjang dan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement