Skip to main content

Malaysia

SPRM berjaya ketepikan keputusan mahkamah berhubung kes penyalahgunaan proses terhadap pengarah syarikat

PUTRAJAYA , 6 Jan -- Anggota dan pegawai polis mengawal sekitar Istana Kehakiman Putrajaya bagi tujuan keselamatan ketika penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir bagi pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum Diraja._BERNAMA
Panel tiga hakim membenarkan rayuan dikemukakan SPRM, pegawai-pegawai agensi itu dan kerajaan Malaysia, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Ogos 2023. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pegawai-pegawai agensi itu serta kerajaan Malaysia berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan mereka bertanggungjawab atas tort penyalahgunaan proses secara berniat jahat terhadap seorang bekas pengarah syarikat serta mengarahkan ganti rugi kepadanya.

Panel tiga hakim dibarisi Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Nadzarin Wok Nordin membenarkan rayuan dikemukakan SPRM, pegawai-pegawai agensi itu dan kerajaan Malaysia, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Ogos 2023 berhubung liabiliti dan keputusan pada 28 Mei 2024 mengenai jumlah ganti rugi yang diberikan kepada Nik Mohd Suhaimi Ahmad Ghazali.

Dalam keputusan sebulat suara yang disampaikan secara dalam talian, Ahmad Kamal memutuskan bahawa tort penyalahgunaan proses hanya terpakai dalam kes melibatkan penyalahgunaan proses sivil dan tidak meliputi terhadap siasatan atau prosiding jenayah.

“Kami berpendapat pendekatan perundangan yang diambil hakim Mahkamah Tinggi dalam kes ini, dengan memperluas pemakaian tort penyalahgunaan proses, yang pada asalnya terpakai kepada proses sivil kepada proses jenayah adalah jelas tidak dapat dipertahankan dan tidak selari dengan perkembangan semasa perundangan di United Kingdom dan negara Komanwel lain," katanya.

Ahmad Kamal berkata tidak terdapat sebarang asas untuk Mahkamah Tinggi mengenakan liabiliti terhadap SPRM di bawah tort penyalahgunaan proses, terutamanya selepas hakim telah memutuskan bahawa Nik Mohd Suhaimi gagal membuktikan tuntutannya berhubung tort pendakwaan berniat jahat.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi mendapati Nik Mohd Suhaimi telah, berdasarkan imbangan kebarangkalian, berjaya membuktikan tuntutannya berhubung penahanan salah dan gangguan yang kemudian tuntutan terbabit diklasifikasikan oleh hakim sebagai tort penyalahgunaan proses, namun tuntutannya berhubung tort pendakwaan berniat jahat telah ditolak.

Bagaimanapun, Ahmad Kamal berkata tort penyalahgunaan proses dalam konteks prosiding jenayah termasuk dalam skop tort pendakwaan berniat jahat.

Mahkamah mengarahkan Nik Mohd Suhaimi membayar kos berjumlah RM90,000.

Pada masa sama, mahkamah turut membatalkan rayuan balas yang difailkan Nik Mohd Suhaimi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutannya berhubung pendakwaan berniat jahat atas alasan rayuan terbabit tidak teratur serta menolak rayuannya untuk mendapatkan jumlah ganti rugi lebih tinggi.

Nik Mohd Suhaimi  telah memfailkan saman terhadap SPRM dan pegawai-pegawainya bagi tuntutan pemenjaraan salah, penahanan salah dan gangguan serta terhadap Pendakwa Raya bagi tuntutan pendakwaan berniat jahat.

Beliau mendakwa telah disiasat berhubung kes rasuah dan kemudian ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dibawa ke pejabat SPRM di Kuantan.

Nik Mohd Suhaimi berkata beliau telah diganggu, diugut, diancam serta dipujuk untuk mengaku bersalah. Beliau mendakwa kemudiannya dibawa ke Mahkamah Sesyen dalam keadaan bergari, dengan kemudian didakwa atas pertuduhan pemalsuan, dan selepas prosiding itu beliau sekali lagi digari serta dipertonton kepada pihak media.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen kemudian membebas dan melepaskannya tanpa memanggil untuk membela diri dan meskipun pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan terbabit, rayuan itu akhirnya ditarik balik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan liabiliti Nik Mohd Suhaimi pada 25 Ogos 2023 dan pada 28 Mei 2024, Mahkamah Tinggi telah menetapkan ganti rugi sebanyak RM900,000. 

Walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa penangkapan, penahanan dan pertuduhan terhadap Nik Mohd Suhaimi pada 19 Mac 2014 adalah sah di sisi undang-undang, namun publisiti negatif yang timbul telah menjejaskan kehidupan dan reputasinya.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Siti Syakimah Ibrahim mewakili SPRM dan lapan pihak yang lain manakala Nik Mohd Suhaimi diwakili peguam Datuk R. Kamalanathan dan K. Vinod.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement