SEGAMAT: Kerajaan menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan skim perkhidmatan baharu yang lebih kompetitif bermula 1 Julai ini bagi menarik penyertaan pegawai penguat kuasa sedia ada menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata tawaran istimewa kepada pegawai agensi penguatkuasaan sedia ada itu merangkumi dua kenaikan tangga gaji tahunan, tambahan RM200 serta pengekalan kekananan dan kemudahan elaun lebih masa.
Beliau berkata tawaran itu merupakan skim perkhidmatan terbaik dan belum pernah ditawarkan dalam mana-mana skim perkhidmatan untuk mereka yang sedang bertugas bagi dipindahkan ke agensi tersebut.
“Jadi saya melihat tidak ada sebab pendapatan bulanan dijadikan sebab kenapa mutu perkhidmatan itu tidak baik. Kali ini kerajaan telah membuat ketetapan, jadi saya rasa eloklah dan bagi mereka untuk menyertai AKPS,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sesi Ramah Mesra dan Tinjauan Sesi Lapor Diri Bersama Pelatih AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di sini hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai perancangan sumber manusia bagi agensi berkenaan, beliau berkata seramai 478 pelatih kumpulan pertama AKPS akan menjalani latihan intensif selama tiga bulan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain latihan ketahanan, Mohd Shuhaily berkata pelatih juga didedahkan dengan aspek perundangan yang dikuatkuasakan pelbagai agensi di lapangan termasuk di bawah Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
"Tiga bulan itu agak singkat untuk kita terapkan semua bagi mereka betul-betul memahami, namun ia bertujuan membina kekuatan fizikal dan mental untuk berada di barisan hadapan kelak.
“Disiplin adalah teras kepada menghalang kebocoran sempadan, jadi isu ini perlu saya ketatkan lagi supaya segala arahan dapat dihayati dan ditaati dengan sebaik mungkin," katanya.
Mohd Shuhaily berkata kumpulan perintis tersebut akan ditempatkan sepenuhnya di kemudahan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands, Singapura bagi mengendalikan pintu masuk baharu itu.
Beliau berkata persediaan awal amat penting memandangkan RTS Link dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Jan 2027 dan proses latihan operasi percubaan di pintu masuk tersebut akan dimulakan seawal Oktober tahun ini.
Menyentuh mengenai prestasi operasi agensi berkenaan, Mohd Shuhaily mendedahkan AKPS mencatatkan nilai rampasan mencecah hampir RM50 juta setakat Mei ini, dengan RM82 juta direkodkan tahun lepas.
-- BERNAMA