Skip to main content

Malaysia

Resolusi penyelarasan pentauliahan peguam syarie dibawa ke MKI - Marhamah

KUALA LUMPUR, 7 Julai — Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Marhamah berkata kerajaan akan terus memudah cara usaha penyelarasan berkenaan secara berhemat, inklusif dan berperingkat dengan menghormati bidang kuasa negeri-negeri serta kedudukan Raja-Raja Melayu. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hasil resolusi Konvensyen Profesion Peguam Syarie 2026 berhubung cadangan penyelarasan pentauliahan peguam syarie di seluruh negara akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berkata sekiranya dipersetujui di peringkat MKI, perkara berkenaan boleh diperhalusi untuk tindakan seterusnya termasuk jika perlu diangkat bagi mendapat pertimbangan dan perkenan Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata ini bagi memastikan peguam syarie yang diterima masuk di sesebuah negeri boleh beramal di negeri lain secara automatik tanpa perlu melalui prosedur atau tapisan berbeza.

“Pada masa ini, proses penerimaan masuk peguam syarie masih tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing, menyebabkan seseorang peguam syarie yang telah diterima masuk di sesebuah negeri tidak secara automatik boleh beramal di negeri lain.

“Keadaan ini menimbulkan cabaran dari segi ketidakseragaman standard kelayakan dan prosedur, beban pentadbiran serta kewangan kepada pengamal, di samping ketiadaan pengiktirafan bersama yang seragam di peringkat nasional,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin berhubung pendirian kerajaan mengenai cadangan untuk menyeragamkan proses penerimaan masuk peguam syarie bagi tujuan beramal di negeri-negeri.

Marhamah berkata kerajaan akan terus memudah cara usaha penyelarasan berkenaan secara berhemat, inklusif dan berperingkat dengan menghormati bidang kuasa negeri-negeri serta kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement