Skip to main content

Malaysia

Projek melon PKPS perkukuh ekonomi luar bandar, jamin sekuriti makanan

Sumber: PKPS
Kejayaan projek melon turut menarik perhatian apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat melawat fasiliti tersebut pada 4 Jun lalu sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0. - Gambar PKPS

SABAK BERNAM: Projek melon di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Smart Agro Park (SSAP), Sungai Air Tawar terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan peningkatan pengeluaran tanaman bernilai tinggi serta penjanaan pendapatan usahawan tani luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kejayaan projek itu membuktikan potensi besar pertanian moden dalam memperkukuh sekuriti makanan dan merancakkan ekonomi komuniti luar bandar.

Menurut beliau, pembangunan SSAP yang menggabungkan teknologi pintar dan amalan lestari menjadi model pertanian moden negeri.

“PKPS komited memperluas pelaksanaan teknologi pertanian moden dan pembangunan usahawan tani bagi memperkukuh sekuriti makanan, meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan sektor agromakanan terus menjadi pemacu penting ekonomi Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejayaan projek itu turut menarik perhatian apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat melawat fasiliti tersebut pada 4 Jun lalu sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0.

Daripada keluasan keseluruhan 120 ekar, sebanyak 105.5 ekar kawasan SSAP telah dibangunkan, bersamaan kadar penggunaan tanah sekitar 88 peratus.

Selain tanaman melon, beberapa komoditi bernilai tinggi lain turut diusahakan secara komersial termasuk nanas Yankee, betik B9 dan kelapa hibrid.

Sehingga Disember 2025, SSAP merekodkan hasil jualan sebanyak RM483,082 dengan jumlah pengeluaran mencecah 154.90 tan metrik hasil pertanian.

Bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan menjana pendapatan jangka pendek, tanaman kontan seperti labu, bendi, terung dan pisang turut diusahakan di kawasan tersebut.

Program Melosel lahir usahawan tani baharu

Dalam masa sama, SSAP turut berperanan sebagai platform pembangunan usahawan tani menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN) Melosel.

Program berasaskan teknologi fertigasi moden itu dilaksanakan di Parit Baru dan Kampung Tebuk Berihun dengan melibatkan 15 unit Rumah Pelindung Hujan (RPH) bagi pengeluaran melon premium Selangor, dikenali sebagai Melosel.

Seramai 15 peserta terlibat, dengan setiap individu mengusahakan satu unit RPH yang menempatkan kira-kira 2,000 pokok melon, menjadikan keseluruhan sebanyak 30,000 pokok.

Berdasarkan pusingan pengeluaran pertama antara November 2024 hingga Januari 2025, peserta di Kampung Tebuk Berihun merekodkan pendapatan bersih purata sebanyak RM4,583 seorang.

Harga ladang Melon Gred A pula mencecah RM8 sekilogram, sekali gus melepasi sasaran awal projek.

Melosel merupakan varieti melon premium yang dibangunkan khusus untuk Selangor melalui penyelidikan dan pembangunan kerajaan negeri, serta dilancarkan pada 2022 menerusi kerjasama PKPS dan Green World Genetics Sdn Bhd.

Fasa kedua projek bermula Julai

Melihat kepada pencapaian tersebut, PKPS merancang untuk meneruskan projek berkenaan menerusi fasa kedua yang dijangka bermula pada Julai ini.

Inisiatif tersebut dijangka mampu memperkukuh rantaian bekalan agromakanan, meningkatkan kapasiti pengeluaran tanaman berkualiti tinggi serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan pemain industri.

Must Watch Video

Advertisement