Skip to main content

Malaysia

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid harap keserasian PN-BN jadi pemangkin kerjasama lebih luas

Tag: zahid hamidi, bn, prn  Foto Astro AWANI
Ahmad Zahid ditemui media pada program Rahmah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, Kampung Tohor, di Jelebu, hari ini. - Foto Astro AWANI

JELEBU: Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap keserasian kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN di Negeri Sembilan dapat diwujudkan secara organik sebelum diperluaskan ke Melaka dan negeri lain.

Beliau berkata, perkembangan kerjasama itu akan dinilai berdasarkan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini sebelum langkah seterusnya dipertimbangkan.

“Kita lihat dulu apa yang akan berlaku di Negeri Sembilan ini dan selepas itu kita juga akan lihat apa yang akan berlaku di Melaka.

“Saya mengharapkan agar keserasian ini dapat diwujudkan secara organik dan yang penting ialah keikhlasan. Insya-Allah, kita akan memperlihatkan kejayaannya pada 1 Ogos nanti.

“Bukan setakat itu, tetapi kita juga akan cuba melaksanakannya di Negeri Melaka dan beberapa tempat lain yang sesuai nanti, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Sembilan, Kampung Tohor, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau yakin perserfahaman yang dibentuk antara BN dan PN pada PRN Negeri Sembilan ke-16, mampu diteruskan pada siri pilihan raya akan datang, termasuk di Melaka.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata persefahaman itu bukan sekadar terhenti di Melaka, sebaliknya berpotensi dibawa sehingga ke Putrajaya.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos.

Must Watch Video

Advertisement