KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan peningkatan jumlah perjalanan penumpang harian kepada 1.7 juta menjelang 2027 menerusi penambahbaikan kebolehpercayaan dan ketersediaan perkhidmatan rel serta bas, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata sasaran itu, berdasarkan prestasi positif apabila pengendali utama sistem rel dan bas henti-henti itu, merekodkan purata 1.3 juta perjalanan penumpang sehari tahun lepas.
“Peningkatan penggunaan pengangkutan awam itu telah mengalihkan kira-kira 377,000 kenderaan persendirian daripada jalan raya setiap hari, sekali gus mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 225,000 tan sepanjang 2025,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Kelestarian Prasarana 2024/2025 hari ini.
Beliau berkata Prasarana akan terus memberi tumpuan kepada aspek kebolehpercayaan dan ketersediaan perkhidmatan, bagi memastikan perkhidmatan tren serta bas kekal menjadi pilihan utama pengguna.
“Sasaran itu diyakini mampu dicapai dengan pembukaan Laluan Shah Alam pada bulan lepas serta operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link, yang bakal menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Nasir berkata usaha itu bukan sekadar menggalakkan peralihan kepada pengangkutan awam, malah turut memacu pembangunan bandar yang lebih bersih, saling berhubung, inklusif dan berdaya tahan.
“Langkah ini amat penting, kerana bandar di seluruh dunia menyumbang hampir 70 peratus daripada pelepasan karbon global, manakala sektor pengangkutan pula menyumbang kira-kira satu per empat daripada pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
Beliau berkata mobiliti mampan bukan sekadar sebahagian daripada penyelesaian terhadap perubahan iklim, malah merupakan antara pendekatan paling berkesan untuk membentuk bandar yang lebih sihat, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup generasi akan datang.
Mengenai pelancaran itu, beliau berkata laporan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), di samping menyokong aspirasi Malaysia ke arah pembangunan bandar yang lebih hijau, inklusif dan berdaya tahan.
Mohd Nasir berkata laporan itu, bukan sahaja mengukur pencapaian yang telah diraih, malah menjadi bukti komitmen Prasarana untuk terus memacu agenda kelestarian pada masa hadapan.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Amir Hamdan berkata setakat Jun, empat daripada lima laluan kereta api berjaya mencapai sasaran purata kilometer antara kegagalan (MKBF), dengan laluan Ampang, Kelana Jaya, dan Sri Petaling masing-masing mencapai 1 juta MKBF, manakala laluan monorail mencapai sasaran 150,000 MKBF.
“Bagi perkhidmatan bas pula, kami terus maju ke arah integrasi penuh bas elektrik di seluruh armada kami menjelang tahun 2037.
“Pada 2025, kami telah menempatkan kelompok terakhir bas diesel untuk menggantikan armada lama secara berperingkat, di samping menaik taraf 11 depot dengan infrastruktur pengecasan bagi menyokong operasi bas elektrik pada masa hadapan.
”Menjelang September ini bas elektrik pertama kami akan mula berkhidmat untuk orang ramai, menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah mobiliti yang lebih bersih dan mampan,” katanya.
-- BERNAMA