Skip to main content

Malaysia

Polis tahan lelaki disyaki cabul pelajar sekolah di Seri Alam

Hoo Chuan Huat
Hoo (gambar) berkata permohonan reman enam hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan oleh Mahkamah Johor Bahru. - Gambar fail/Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes cabul membabitkan seorang pelajar sekolah di kawasan Seri Alam di sini, yang tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata suspek berumur 28 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kira-kira 10.30 malam tadi.

Beliau berkata penahanan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada ibu mangsa berusia 37 tahun pada 9 malam hari yang sama.

"Ibu mangsa melaporkan bahawa kejadian cabul tersebut sebenarnya telah berlaku pada 2025 di kawasan Seri Alam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata permohonan reman selama enam hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan oleh Mahkamah Johor Bahru bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan lanjut menunjukkan lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tempoh 20 tahun dan berdepan dengan hukuman sebatan.

Terdahulu, polis mengesan satu hantaran tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook "Mohd Fadli Salleh" berkaitan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dalam kenyataan berasingan berharap polis menjalankan siasatan yang profesional dan menyeluruh berhubung kes ini supaya tindakan undang-undang boleh diambil jika dibuktikan bersalah.

“Pada masa sama, JPN Johor juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan murid yang menjadi mangsa dilindungi dan kesejahteraannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang berhadapan dengan kes seumpama ini juga dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan tidak menarik semula laporan terbabit supaya siasatan dan tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement