Skip to main content

Malaysia

Peruntukan Program WBL dipertingkatkan kepada RM9.9 juta, iktiraf pengalaman anggota ATM

MELAKA, 15 Mei -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (depan, tiga kiri) semasa bergambar kenangan bersama sebahagian penerima surat tamat pengajian pada Majlis Peluncuran Program Work-Based Learning (WBL) Kementerian Pertahanan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, hari ini.  Peruntukan Program WBL untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditingkatkan daripada RM3 juta kepada RM9.9juta tahun ini bagi memperluas peluang kepada 1,520 anggota memperoleh pengiktirafan akademik berasaskan pengal
Mohamed Khaled (depan, tiga kiri) semasa bergambar kenangan bersama sebahagian penerima surat tamat pengajian pada Majlis Peluncuran Program WBL Kementerian Pertahanan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, hari ini.

MELAKA: Peruntukan program pembelajaran berasaskan kerja (WBL) untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditingkatkan daripada RM3 juta kepada RM9.9 juta tahun ini bagi memperluas peluang kepada 1,520 anggota memperoleh pengiktirafan akademik berasaskan pengalaman dan kemahiran sepanjang perkhidmatan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata inisiatif strategik itu ialah satu usaha intervensi kementerian bagi memastikan anggota ATM mempunyai nilai pasaran kerja lebih baik selepas menamatkan perkhidmatan, selain memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang lebih stabil.

"Sehingga kini, sebanyak 461 anggota ATM menerima manfaat daripada program WBL melibatkan 231 anggota di  Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan 230 anggota di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan kesemua peserta dijangka tamat pengajian pada November dan Disember tahun ini.

"Bagi tahun ini, program itu diperluas melibatkan 12 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan hampir 50 program pengajian ditawarkan, yang merangkumi pelbagai bidang termasuk pentadbiran perniagaan, seni kulinari, teknologi pertahanan serta pengurusan logistik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program WBL Kementerian Pertahanan di Dewan Serba Guna Kem Terendak, di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ith Nain dan Ketua Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.

Terdahulu, Mohamed Khaled turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara ATM bersama UPNM, UiTM dan City University Malaysia sebagai simbol pengukuhan kerjasama strategik dalam pelaksanaan Program WBL.

Beliau turut menyampaikan Surat Perakuan Tamat Pengajian kepada 30 peserta Kohort 1/2025 yang memulakan pengajian pada Jun 2025 serta Surat Tawaran Pengajian kepada 20 peserta baharu Kohort 2/2026 yang akan memulakan pengajian pada Jun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata program berkenaan penting kerana kebanyakan anggota tentera menyertai perkhidmatan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan tanpa intervensi sewajarnya mereka akan bersara dengan kelayakan sama dalam keadaan pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.

“Kebanyakan anggota tentera masuk perkhidmatan dengan hanya berbekalkan SPM sedangkan sepanjang kira-kira 20 tahun perkhidmatan, mereka ini sebenarnya mengumpul pengalaman, kemahiran dan kecekapan, namun perkara itu sukar diiktiraf industri kerana tiada pensijilan formal.

"Jadi, sekiranya tiada intervensi dilakukan, mereka akan keluar dengan kelayakan sama yang tentunya merumitkan mereka mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata menerusi kerjasama dengan IPT, pengalaman dan kemahiran anggota akan dinilai serta diiktiraf bagi melayakkan mereka menerima diploma atau sijil akademik formal melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pekerjaan.

"Dengan adanya kelayakan akademi yang lebih baik, ia akan membantu anggota ATM yang rata-ratanya bersara berusia 41 tahun, dan masih mempunyai tanggungan keluarga … sekali gus mengelakkan daripada risiko kesukaran kewangan jika hanya bergantung kepada pencen dan bantuan kebajikan.

"Pada masa yang sama, pembelajaran berasaskan pengalaman dan latihan di tempat kerja ini tidak mengganggu atau menjejaskan tugas hakiki perkhidmatan, satu kelebihan yang patut direbut oleh anggota," katanya.

--BERNAMA

Must Watch Video