Skip to main content

Malaysia

Permintaan daun palas sempena Aidiladha kekal tinggi di Pulau Pinang

Daun palas
Orang ramai sudah mula membuat persiapan Aidiladha dengan mendapatkan daun palas bagi menyediakan juadah tradisi seperti ketupat pada hari raya. - Gambar Astro AWANI

KEPALA BATAS: Menjelang sambutan Aidiladha lusa, permintaan terhadap daun palas bagi penyediaan ketupat pulut terus kekal tinggi, khususnya di Pulau Pinang.

Keadaan ini turut membuka peluang kepada peniaga kecil untuk menambah pendapatan dengan menjual pelbagai bahan keperluan seperti daun palas, beras pulut, kelapa, daun pandan dan serai.

Seorang peniaga, Ropidah Taib, 60, berkata, dia memulakan jualan seawal jam 7 pagi di tepi jalan berhampiran Pasar Awam Kepala Batas sebagai usaha meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Image
 penjual daun palas, Ropidah Taib
Ropidah (duduk) biasanya mendapatkan bekalan daun palas daripada pembekal tetap di Kuala Nerang, Kedah. - Gambar Astro AWANI

Ibu kepada seorang anak lelaki berusia 24 tahun itu berkata, permintaan daun palas biasanya meningkat menjelang musim perayaan dan dia mendapatkan bekalan daripada pembekal tetap di Kuala Nerang, Kedah.

Menurutnya, hubungan yang telah lama terjalin dengan pembekal berkenaan memudahkan urusan mendapatkan stok mencukupi ketika permintaan tinggi.

“Sudah lama saya berniaga daun palas kerana pendapatan sebelum ini tidak menentu. Bila fikirkan cara untuk tambah pendapatan, saya pilih berniaga bahan ini kerana permintaannya tinggi setiap kali musim perayaan.

"Saya juga ada pembekal tetap yang memudahkan urusan mendapatkan stok. Jadi setiap kali permintaan meningkat, bekalan masih dapat diperoleh dengan lancar," katanya.

Tinjauan Astro AWANI mendapati orang ramai sudah mula membuat persiapan Aidiladha dengan mendapatkan daun palas bagi menyediakan juadah tradisi seperti ketupat pada hari raya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Habibah Ismail, 50, berkata, dia membeli daun palas dalam jumlah yang banyak kerana menerima tempahan ketupat setiap kali musim perayaan.

Ibu kepada tujuh anak itu, yang turut menjual nasi kerabu berkata, idea menjual ketupat tercetus selepas masakannya mendapat pujian pelanggan.

“Saya memang akan sediakan awal kerana permintaan tinggi. Biasanya tempahan sudah mula diterima beberapa minggu sebelum raya.

"Dengan harga barang yang semakin meningkat, peniaga pun berdepan cabaran. Jadi kita perlu bersedia lebih awal supaya dapat memenuhi permintaan pelanggan,” ujar Habibah.

Menurutnya, sambutan berterusan daripada pelanggan memberi peluang untuk memperoleh pendapatan sampingan, sekali gus membantu menampung peningkatan kos kehidupan.

Must Watch Video

Advertisement