KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat Nepturis Sdn Bhd hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa tiada penipuan dalam pemberian maklumat berhubung pemegang saham kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Saksi pendakwaan ke-13 Aliza Abd Malek, 47, yang juga pemegang saham syarikat berkenaan berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Amer Hamzah: Bercakap mengenai pemegang saham (shareholder) sebanyak 30 peratus oleh TC Lian (Lian Tan Chuan)...adakah maklumat (pemegang saham) ini tidak disalurkan kepada SSM. Betul?
Aliza: Syarikat Nepturis ini TC Lian telah memberikan peluang kepada saya dan Rizman (Mohd Rizman Akum Khan), kalau ikutkan SSM memang TC Lian serahkan 100 peratus kepada saya dan Rizman.
Amer Hamzah: Adakah ini satu bentuk penipuan dengan tidak memberi maklumat tepat dan lengkap kepada SSM dan Aliza menjawab tidak.
Aliza berkata walaupun beliau dan Mohd Rizman adalah pengarah syarikat dan pemegang saham Nepturis, namun TC Lian ialah individu yang mengeluarkan modal untuk syarikat Nepturis.
Sebelum ini, Aliza dalam pernyataan saksinya menyatakan pada tahun 2018 beliau dan Mohd Rizman telah mengambil alih syarikat Nepturis yang dimiliki TC Lian, serta dilantik sebagai pengarah syarikat dan pemegang saham sebanyak 50 peratus bagi setiap seorang dalam syarikat itu.
Saksi itu berkata walaupun TC Lian tiada nama di dalam syarikat Nepturis, namun mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam syarikat itu dan perkara tersebut diketahui oleh Aliza dan Mohd Rizman.
Aliza berkata nama beliau dan Mohd Rizman dalam SSM adalah sah walaupun syarikat Nepturis menerima suntikan modal daripada TC Lian, malah tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka (Aliza, Mohd Rizman dan TC Lian) dan syarikat Nepturis.
Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat mengenai peranan TC Lian dalam syarikat Nepturis, Aliza menjawab beliau sudah lama mengenali TC Lian, malah individu berkenaan telah memberi peluang kepadanya serta Mohd Rizman untuk memajukan (diri) demi mengubah kehidupan keluarga.
"Saya dan Rizman diberikan kepercayaan oleh TC Lian untuk menguruskan syarikat Nepturis dan tiada halangan TC Lian untuk masuk campur dalam urusan pentadbiran syarikat. Namun, saya dan Rizman ada autoriti untuk menandatangani segala dokumen kewangan, TC Lian juga ambil maklum segala isu semasa dalam syarikat tersebut," katanya.
Aliza bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat Nepturis.
Amer Hamzah: Yang ada kaitan dengan syarikat Nepturis ini hanyalah kamu (Aliza), Rizman dan TC Lian sahaja. Betul? dan Aliza menjawab betul.
Disoal Noralis sama ada Muhyiddin mengetahui berkenaan pemilikan syarikat Nepturis, Aliza berkata beliau tiada pengetahuan mengenai perkara itu, dan hanya TC Lian boleh menjawab perkara tersebut.
Saksi itu berkata selain projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor, syarikat Nepturis turut dianugerahkan tiga lagi projek, iaitu Pusat Kawalan Penyakit Negara di Negeri Sembilan, Central Spine Road di Kerteh serta sebuah sekolah di Bukit Petiti, Kuala Terengganu, Terengganu.
Kepada soalan Amer Hamzah mengenai gaji ketika Aliza menyertai syarikat Nepturis, dan saksi itu berkata beliau menerima gaji pokok RM6,500 sebagai pengarah dan elaun RM6,000 serta dua bulan bonus setiap tahun.
Sementara itu, turut memberi keterangan hari ini ialah Jurutera Awam Penguasa Kanan, Ir Saipullah Husin, 58, yang juga saksi pendakwaan ke-14.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.
-- BERNAMA