KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengenang pemergian sahabatnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang genap tiga tahun meninggal dunia hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Hannah berkata meskipun tiga tahun telah berlalu, namun masih banyak perkara yang mengingatkannya kepada Allahyarham, khususnya ketika berdepan krisis politik dan merancang sesuatu program.
Menurutnya, beliau sering terfikir mengenai tindakan yang mungkin diambil Salahuddin sekiranya berada dalam sesuatu situasi, selain turut mengingati konsep Rahmah yang sering dibawa bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu.
"Setiap kali saya merancang sesuatu program, saya juga akan teringat konsep Rahmah yang dibawanya.
"Saya akan cuba mencari 'opsyen Rahmah' supaya lebih ramai rakyat khususnya mereka yang kurang berupaya, dapat turut serta dan menerima manfaat," katanya dalam hantaran itu.
Hannah berkata Allahyarham pernah mengajarnya makna Rahmah dalam bahasa Inggeris sebagai "grace", yang membawa maksud kurniaan tanpa syarat serta belas kasihan yang melimpah.
Katanya, Allahyarham juga pernah berpendapat bahawa tiada seorang pun di Malaysia sepatutnya kelaparan kerana negara ini mempunyai pelbagai sumber, rakyat yang rajin dan ramai individu yang sedia membantu.
"Beliau pernah berkata, di Malaysia tidak sepatutnya ada sesiapa yang kelaparan. Negara ini mempunyai pelbagai sumber, rakyat yang rajin, ramai orang baik yang sudi membantu dan pada masa yang sama, terlalu banyak pembaziran berlaku setiap hari.
"Kita hanya perlu memikirkan mereka yang tidak berupaya. Kemudian, bantu. Itulah Salahuddin. Beliau sentiasa mengingati mereka yang paling memerlukan bantuan," katanya.
Hannah turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ahli politik yang meninggalkan kesan mendalam menerusi nama, nilai, dan kenangan yang ditinggalkannya.
"Ramai ahli politik datang dan pergi tetapi jarang ada yang meninggalkan nama, nilai dan kenangan yang begitu mendalam seperti Salahuddin Ayub.
"Sahabat saya, anda amat dirindui," katanya.
Beliau berkata kehilangan Allahyarham masih dirasai oleh keluarga dan sahabat rapat dalam kehidupan seharian.
"Mata saya masih basah setiap kali mengenangkan Salahuddin. Ada kehilangan yang masa tidak mampu sembuhkan sepenuhnya. Kita hanya belajar meneruskan hidup sambil membawa kenangan itu bersama.
"Beliau tiada ganti," kata Hannah.
Allahyarham Salahuddin meninggal dunia pada usia 61 tahun di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar pada 23 Julai 2023 selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.