Skip to main content

Malaysia

Malaysia zahir rasa bimbang terhadap ancaman Houthi sekat laluan di Selat Bab el-Mandeb

PUTRAJAYA, 22 Julai -- Rakaman gambar logo Wisma Putra ketika tinjauan selepas Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Ibu Bapa Pelajar Bangladesh Malaysia untuk membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia yang terkandas di Bangladesh, di Wisma Putra, hari ini.  Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.  --foto
Wisma Putra berkata sebarang gangguan terhadap transit melalui laluan Selat Bab el-Mandeb akan memberi kesan bukan sahaja kepada rantau tersebut, malah kepada ekonomi dunia.

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan rasa bimbang dengan pengumuman dan ancaman terkini yang dibuat oleh pihak Houthi berhubung potensi unuk menyekat dan menutup laluan perairan Selat Bab el-Mandeb yang strategik. 

Kementerian Luar dalam kenyataan menyatakan Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat untuk mempertahankan kebebasan pelayaran dan melindungi keselamatan laluan laut komersial di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).  

“Pada masa ketegangan serantau di Asia Barat yang semakin meruncing, Malaysia menggesa agar semua pihak mengelak dari mengambil tindakan provokatif atau ancaman yang menyasarkan laluan maritim.

“Kestabilan yang berpanjangan hanya boleh dicapai melalui dialog yang konstruktif, diplomasi, dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa,” menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa ia akan terus memantau rapi situasi keselamatan di rantau ini melalui misi diplomatiknya di luar negara.

Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, berkata selat tersebut merupakan laluan penting bagi perdagangan antarabangsa yang menghubungkan Asia dan Eropah, dan sebarang gangguan terhadap transit melalui laluan ini akan memberi kesan bukan sahaja kepada rantau tersebut, malah kepada ekonomi dunia. 

“Sebagai sebuah negara dagang yang bergantung kepada perdagangan maritim antarabangsa yang terbuka, selamat, dan tanpa halangan, Malaysia menegaskan bahawa sebarang gangguan pada laluan utama perkapalan global merupakan ancaman langsung kepada kemakmuran negara dan tidak boleh diterima, mengambil kira kestabilan rantaian bekalan antarabangsa, keselamatan tenaga, serta pemulihan ekonomi global,” tambahnya.

Wisma Putra juga menasihatkan agar semua kapal-kapal Malaysia serta pengendali perkapalan untuk sentiasa mengekalkan kewaspadaan yang tinggi dan mematuhi nasihat keselamatan maritim terkini. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement