KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dalam mendepani cabaran keselamatan serantau serta mempromosikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
Komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan rakan sejawatnya dari Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen, dalam Lawatan Pengenalan Menteri Pertahanan Thailand pada 13 dan 14 Julai.
Adul secara rasmi dilantik sebagai Menteri Pertahanan Thailand pada 30 Mac lalu.
Mohamed Khaled menerima kunjungan hormat beliau di Wisma Pertahanan di sini hari ini, mencerminkan hubungan persahabatan erat antara kedua-dua negara.
Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada Adul atas pelantikannya sebagai Menteri Pertahanan Thailand serta menyatakan keyakinan terhadap kejayaan berterusan Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.
Dalam pertemuan itu, Thailand turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia membantu meredakan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja serta mengiktiraf peranan proaktif Malaysia dalam memudah cara dialog dan memupuk kestabilan serantau.
Sempena lawatan rasmi itu, Adul turut mengadakan lawatan ke National Aerospace and Defence Industries (NADI) Group of Companies bagi meninjau fasiliti syarikat berkenaan.
Lawatan itu turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama yang berpotensi serta meneroka peluang kerjasama baharu pada masa hadapan.