Skip to main content

Malaysia

Malaysia perkukuh asas kepercayaan digital melalui RUU tadbir urus AI

ANWAR IBRAHIM
Anwar berkata, RUU yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan itu akan melengkapkan rangka kerja sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data negara. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memperkukuh asas kepercayaan digital negara menerusi penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI), sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pembangunan teknologi dilaksanakan secara bertanggungjawab serta memelihara kepentingan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU yang kini berada pada peringkat akhir penyediaan itu akan melengkapkan rangka kerja sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data negara.

“Rang Undang-Undang ini akan melengkapi rangka kerja sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data kita.

“Kepercayaan digital merupakan asas pembinaan negara digital, dan Rancangan Malaysia Ke-13 serta fasa terakhir Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menekankan keutamaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Operasi Global Ant International Kuala Lumpur di Tun Razak Exchange (TRX), hari ini.

Anwar berkata, ketika kecerdasan buatan terus mengubah landskap perniagaan, perdagangan dan sistem kewangan global, pertimbangan manusia perlu kekal menjadi tunjang utama dalam setiap proses membuat keputusan, walaupun teknologi semakin maju.

Menurut beliau, era AI bukan sahaja akan mengubah cara perniagaan beroperasi, malah turut mempengaruhi kaedah perdagangan dijalankan, penilaian kredit dibuat, risiko diuruskan serta hubungan pasaran merentasi sempadan.

“Jika digunakan secara bertanggungjawab, model bahasa besar boleh menghapuskan pelbagai halangan, memudahkan komunikasi dan mewujudkan peluang baharu dalam perdagangan serta inovasi.

“Namun, teknologi ini juga menumpukan kuasa yang besar kepada pihak yang mengawal data, platform dan infrastruktur digital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa negara perlu memastikan pertimbangan manusia terus menjadi keutamaan dalam proses membuat keputusan, meskipun keupayaan dan kecanggihan teknologi semakin berkembang.

“Negara mesti memastikan bahawa pertimbangan manusia kekal menjadi tumpuan utama dalam membuat keputusan, walaupun mesin menjadi lebih berkemampuan dan canggih,” katanya.

 

 

Must Watch Video

Advertisement