HYDERABAD: Malaysia dan India menyemak pelbagai bidang kerjasama ketenteraan serta meneroka peluang memperluas kerjasama semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kerjasama Ketenteraan (SCMC) India-Malaysia ke-12.
Mesyuarat yang diadakan di New Delhi pada Rabu itu dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Bersama Kementerian Pertahanan India Amitabh Prasad dan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Amer Mahmud Abdul Rahman.
"Kedua-dua pihak menyemak semula keseluruhan spektrum kerjasama ketenteraan dua hala dan menyatakan kepuasan hati terhadap kemajuan mantap yang dicapai," menurut Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan.
Mereka membincangkan bidang seperti eksesais dua hala, latihan, rundingan staf, pembinaan kapasiti dan kerjasama maritim.
Kedua-dua pihak turut melihat peluang untuk memperluas kolaborasi dalam industri pertahanan, teknologi, keselamatan siber serta bantuan kemanusiaan dan bencana, selain saling bertukar pandangan mengenai perkembangan keselamatan serantau dan global, menurut kenyataan India itu.
Delegasi Malaysia yang sedang dalam rangka lawatan itu juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Pertahanan Rajesh Kumar Singh, melawat DPSU Bhawan, hab kerjasama bagi perusahaan pertahanan sektor awam India, dan meletakkan kalungan bunga di Memorial Perang Kebangsaan di ibu negara India itu.
-- BERNAMA