KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini telah membatalkan sepina yang menghendaki Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir sebagai saksi dalam saman sivil berjumlah RM30 juta, yang difailkan oleh 12 individu terhadap seorang ahli perniagaan dan isterinya.
Datuk Vinod Balachandra Sekhar dan isterinya Winny Yeap Liew Heoh, telah disaman oleh plaintif yang terdiri daripada 10 pelabur dan dua bekas pekerja Vinod pada tahun 2023.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah, ketika membenarkan permohonan Anwar untuk mengetepikan sepina bertarikh 15 Jan itu, memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan Perdana Menteri merupakan saksi yang relevan dan material dalam perbicaraan tersebut.
“Tiada tujuan yang bermanfaat dapat dicapai dengan mengarahkan kehadirannya. Tindakan sedemikian akan bersifat menindas dan mengalihkan fokus perbicaraan daripada isu undang-undang sebenar. Mereka juga bergantung pada gambar, hantaran media sosial dan acara awam yang melibatkan Anwar dan Vinod.
“Pada tahap tertinggi sekali pun, bahan-bahan tersebut hanya boleh menunjukkan wujudnya hubungan atau perkenalan. Ia tidak membuktikan bahawa pemohon mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi yang dipertikaikan dalam pliding. Hubungan tidak semestinya menjadikan seseorang itu saksi yang material.”
“Sesiapa sahaja yang disebut dalam e-mel, dirakam dalam gambar bersama mana-mana pihak, atau dirujuk dalam sesuatu perbualan boleh dipaksa hadir ke mahkamah. Itu bukanlah undang-undang. Perlu diingat prinsip penting bahawa sepina tidak dikeluarkan secara automatik tanpa kawalan,” katanya.
“Plaintif mendakwa pemohon (Anwar) perlu dipanggil kerana namanya digunakan untuk melakukan penipuan, namun saksi mereka sendiri mengakui tiada bukti bahawa nama beliau digunakan untuk mendapatkan pelaburan atau wang. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk mengetepikan sepina tersebut,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Anwar.
Peguam Sanjay Mohan mewakili Anwar, manakala plaintif diwakili peguam Colin Andrew Pereira.
Pasangan itu disaman pada tahun 2023 atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak oleh 12 plaintif terbabit. Plaintif mendakwa Vinod telah meyakinkan mereka untuk membuat pelaburan secara langsung atau menerusi syarikat-syarikat miliknya, tanpa memaklumkan mengenai dakwaan status kebankrapannya.
Mereka juga mendakwa telah membangkitkan kebimbangan menerusi satu e-mel bertarikh 30 Sept 2020. Vinod didakwa menolak kebimbangan tersebut dan menyatakan bahawa individu bernama “Anwar” akan mengendalikan isu itu, sekali gus memberi gambaran wujudnya kaitan dengan Anwar, yang dipercayai plaintif merujuk kepada Perdana Menteri.
-- BERNAMA