KUALA LUMPUR: Sokongan mahasiswa adalah bersifat objektif dengan menghargai setiap langkah kerajaan yang membawa kestabilan, kata Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Irfan Firdaus Md Fauzi.
Jelasnya, pada masa sama golongan ini kekal kritikal terhadap sebarang dasar yang tidak menyebelahi kebajikan rakyat.
“Sikap mahasiswa hari ini tidak boleh dipukul rata sebagai penyokong tegar mahupun penentang mutlak. Sebaliknya, mereka adalah kelompok pemikir yang dinamik dan berasaskan prestasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, semua pihak harus menerima hakikat bahawa demokrasi di kampus semakin matang, di mana mahasiswa lebih mementingkan hasil berbanding ideologi kepartian.
"Kerajaan mahupun pembangkang tidak seharusnya mengambil mudah suara anak muda kerana sokongan mereka perlu dimenangi setiap hari melalui tindakan yang nyata.
“Ia bukan sekadar janji-janji manis atau retorik politik semata-mata,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia, Aqeef Salih, menafikan telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa hilang keyakinan terhadap parti di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menegaskan ia tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui melalui saluran rasmi.
Beliau berkata, kenyataan tersebut didakwa hanya dikeluarkan oleh beberapa individu dalam pimpinan pusat tanpa mandat organisasi sebenar.
“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM. Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi,” katanya.