PUTRAJAYA: Institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang menerima pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tahfiz akan mengenakan kadar yuran yang setara dengan pelajar yang mengikuti kurikulum kebangsaan.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Azlinda Azman, berkata kementerian ikhlas memberi ruang kepada calon yang layak setelah mengikuti kriteria dan standard universiti kerana ia merupakan saluran perdana.
“Program ini disubsidi oleh kerajaan... saya tahu ada pihak mengatakan mungkin mereka perlu membayar yuran luar atau komersial,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Azlinda merujuk kepada pelajar daripada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) berkelulusan UEC serta institusi tahfiz yang berhasrat mengikuti program tertentu di IPTA.
Katanya, terdapat tiga universiti yang menyediakan empat program kepada pelajar lepasan SMPC seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universtiti Putra Malaysia (UPM).
Manakala program yang dibuka ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Sementara itu untuk pelajar tahfiz pula antara universiti terbabit ialah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Univesiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sultan Zainal ABidin (UNISZA) dan UPSI.
Antara program yang ditawarkan ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwa, Al-Quran dan As Sunnah serta Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz dan Pengajian Islam (Dakwah).
“Jangan ingat ia adalah program yang calang-calang, sebenarnya program ini bersifat kompetitif juga,” katanya lagi.