Skip to main content

Malaysia

Laluan baharu Bangkok-Kuching pacu pelancongan Malaysia dan Thailand

81705851500_Kuchingsarawak.jpg
Laluan itu bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan serantau, malah dijangka merangsang pertumbuhan industri pelancongan di Sarawak dan Sabah. - Gambar fail

BANGKOK: Tourism Malaysia menyambut baik pengumuman Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) mengenai pengenalan laluan penerbangan terus baharu antara Bangkok dan Kuching yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia dan Thailand.

Pengarah Tourism Malaysia di Bangkok Nurul Ain Mohammed Yunus berkata laluan itu bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan serantau, malah dijangka merangsang pertumbuhan industri pelancongan di Sarawak dan Sabah.

Beliau berkata sekiranya perkhidmatan itu mula beroperasi seperti dijadualkan pada Oktober ini, ia berpotensi meningkatkan ketibaan pelancong serta merancakkan aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan di kedua-dua negara.

“Tourism Malaysia mengalu-alukan inisiatif AirBorneo untuk mengendalikan laluan baharu ini kerana Kuching merupakan antara destinasi yang sedang giat dipromosikan kepada pasaran Thailand.

“Walaupun Kuching masih kurang dikenali dalam kalangan pelancong Thailand berbanding Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, usaha promosi berterusan berjaya mewujudkan permintaan baharu serta mengukuhkan minat sedia ada terhadap destinasi ini, khususnya disebabkan keunikan warisan budaya dan tarikan berasaskan alam semula jadi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Perkhidmatan Bangkok-Kuching turut dijangka memperluas akses pelancong Thailand ke Sarawak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), sekali gus membuka peluang lebih luas untuk meneroka kepelbagaian budaya Borneo, produk ekopelancongan serta tapak warisan yang diiktiraf UNESCO.

Minggu lepas, CAAT mengumumkan hasil perbincangan berhubung semakan jadual penerbangan, penambahan kapasiti perkhidmatan dan pembukaan laluan baharu ke Thailand semasa Persidangan Slot Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Ke-158 (SC158) di Bangkok.

Menurut CAAT, AirBorneo merupakan antara empat syarikat penerbangan baharu yang menerima peruntukan slot lapangan terbang bagi mengendalikan perkhidmatan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.

AirBorneo dijangka mengendalikan 14 penerbangan seminggu bagi laluan Kuching–Suvarnabhumi sepanjang jadual musim sejuk 2026/2027, yang berlangsung dari 25 Okt 2026 hingga 27 Mac 2027.

Menurut CAAT, syarikat penerbangan lain yang turut menerima peruntukan slot baharu bagi musim berkenaan ialah Riyadh Air dari Arab Saudi, Virgin Atlantic dari United Kingdom serta SkyUp Nistru dari Moldova yang akan mengendalikan perkhidmatan penerbangan sewa khas.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement