BARU-BARU ini masyarakat tersentak dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berkaitan "pengecutan peluang melanjutkan pengajian di universiti awam (UA)" berikutan dakwaan seramai 30,000 pelajar yang layak ke UA telah dinafikan hak mereka kerana wujudnya unsur 'pintu belakang' ke UA.
Kenyataan itu telah mewujudkan persepsi buruk seolah-olah peluang para pelajar yang layak telah dirampas demi kepentingan kewangan sekali gus menjejaskan integriti sistem pendidikan tinggi negara.
'Warga maya' juga turut memberikan pandangan serta sokongan mereka kepada kenyataan yang dibuat oleh Dr Haim Hilman Abdullah memandangkan beliau merupakan mantan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) serta pernah terlibat dalam hal ehwal akademik di peringkat universiti.
Tetapi itu tidaklah bermakna kita secara semberono menerimanya dan terus menghukum pihak pengurusan pengajian tinggi.
Terdapat juga warga maya yang mempersoalkan kenyataan yang dibuat oleh beliau dan terdapat juga yang berkecuali.
Ini adalah lumrah dalam dunia maya yang menyaksikan kadar penyertaan (civic engagement) warga maya yang semakin meningkat berbanding di awal pengenalan teknologi Internet sekitar tahun 1996 dahulu.
Memandangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telahpun membuat kenyataannya, begitu juga beberapa buah UA turut membuat kenyataan masing-masing, maka adalah lebih baik semua pihak menghormati serta tunggu dan lihat akan kesudahannya.
Namun, satu perkara yang ingin saya nyatakan ialah kita sebagai rakyat Malaysia perlu lebih bijak dalam menilai, mencari maklumat, menerima maklumat dari pelbagai sumber sekaligus akan membantu kita dalam memahami satu-satu isu.
Ia juga akan menunjukkan diri kita sebagai manusia yang memiliki tahap literasi media yang tinggi serta tidak mudah dikaburi dengan fakta-fakta yang tidak jelas serta dipersoalkan 'authenticity'-nya.
Penduduk Malaysia kebanyakannya adalah berpendidikan dan ramai juga yang tergolong dalam kapasiti profesional.
Hendaknya janganlah golongan profesional turut mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang belum lagi dibuktikan kesahihannya.
Hanya kerana pihak yang menyatakan itu dinilai dari sudut kredibiliti serta kapasiti kedudukan yang pernah dipegang olehnya tidaklah bermakna kenyataan tersebut benar belaka.
Ingatlah manusia tidak pernah terlepas daripada membuat kesilapan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja.
Dalam dunia yang semakin canggih hari ni, saringan maklumat adalah sangat penting khususnya dalam membezakan yang manakah 'misinformation' dan 'disinformation'.
Yang jelas matlamat akhirnya, anak-anak di Malaysia tidak tertutup peluang mereka melanjutkan pengajian tinggi.
Jika tidak ke universiti, arahnya mungkin ke politeknik, kolej kemahiran, institusi TVET tempatan mahupun secara kerjasama dengan negara luar seperti Jerman, Perancis, Jepun Dan Korea Selatan.
- Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli ialah Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM).
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.