BANTING: Seorang remaja perempuan yang didakwa menikam seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting, tiba di Mahkamah Telok Datok, di sini, bagi menghadapi pertuduhan hari ini.
Remaja itu tiba di pekarangan mahkamah pada 8.32 pagi dengan dikawal ketat anggota polis.
Dia sebelum ini direman selama empat hari bermula 7 Julai dengan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pengamal media yang tiba lebih awal di pekarangan mahkamah itu tidak dibenarkan masuk kerana kes berkenaan melibatkan seorang tertuduh di bawah umur.
Semalam, media melaporkan rasa tidak puas hati yang dipendam terhadap rakan dipercayai menjadi punca kejadian kes tikam seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, Isnin lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, termasuk keterangan direkodkan daripada beberapa individu serta 10 pelajar yang namanya tersenarai dalam nota tular menerusi media sosial, mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli.
Sebelum ini, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan suspek yang dipercayai menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting telah ditahan pihak polis, manakala pelajar perempuan yang cedera diberikan rawatan di Hospital Banting.
-- BERNAMA