KOTA KINABALU: Saksi ke-71 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir sebak ketika memberikan keterangannya di Mahkamah Koroner di sini apabila mengenangkan keadaan barangan peribadi anak saudaranya itu yang didakwa dilonggokkan seperti sampah semasa berada di asrama sekolah.
Nur Shira Abdullah, 46, turut meluahkan rasa terkilan dan mempersoalkan mengapa ada pihak seolah-olah membenci Allahyarham sehingga barangan milik remaja itu diperlakukan sedemikian.
Perkara itu dinyatakannya ketika menjawab soalan peguam, Shahlan Jufri, yang bertanya sama ada terdapat mana-mana guru memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku kepada Zara Qairina ketika dia datang ke sekolah untuk mengambil barang-barang peribadi arwah.
"Tidak pernah. Malahan perkataan maaf pun tidak ada. Mereka cuma menunjukkan bilik di mana mereka menyimpan barang-barang peribadi arwah yang telah mereka kemas.
"Barang-barang peribadi ini dilonggokkan macam longgokan sampah, Yang Arif. Barang-barang anak kami seolah-olah tidak ada nilai, diperlakukan seperti sampah," katanya dalam nada sebak.
Menurutnya, keadaan itu amat menyentuh perasaannya kerana barangan tersebut merupakan satu-satunya kenangan yang masih tinggal daripada Allahyarham.
"Kenapa mereka begitu membenci Zara? Sampai barang Zara pun dibuat begitu. Semua pakaian diletakkan, ada yang dalam beg, ada yang dalam plastik sampah hitam.
"Maafkan saya Yang Arif, sebab barang-barang inilah yang tinggal buat kenangan. Mereka hanya tunjuk tempat dan berkata, 'sana barang-barang Zara puan, puan boleh ambil'," katanya. -- Sinar Harian