Skip to main content

Malaysia

'Keluarga sedang kumpulkan duit bayar ikat jamin' - Suami Azar Azmi

SINAR HARIAN
Suami Azar Azmi, Mohd Apri Hazreen dibawa ke Mahkamah Seremban untuk pertuduhan kali pertama pada Mac lalu. - Gambar fail

SEREMBAN: Suami kepada pelakon Azar Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa ahli keluarganya sedang mengumpulkan wang untuk membayar jaminannya sebanyak RM21,000.

Tertuduh, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, berkata demikian di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin ketika prosiding sebutan semula lantikan peguam di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan bertongkat turut memaklumkan belum bersedia untuk melantik peguam dan kini masih dipenjara kerana belum membayar wang jaminan.

"Belum lagi, saya masih dalam jel sebab keluarga sedang kumpulkan duit untuk bayar ikat jamin RM21,000.

"Awal bulan Jun, mereka akan bayar ikat jamin. Selepas saya keluar, saya akan usahakan (lantik peguam)," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan untuk lantikan peguam pada 1 Julai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurnadiahani Mohd Ideris.

Pada 11 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement