Skip to main content

Malaysia

Kedudukan kewangan Selangor masih sihat, tidak perlu langkah kecemasan - Amirudin

SHAH ALAM, 15 Jun -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) semasa sidang media selepas melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 di Bilik Mesyuarat MTES Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amirudin berkata kerajaan negeri belum melihat sebarang keperluan untuk melaksanakan langkah kecemasan berikutan prestasi kutipan hasil masih di landasan positif setakat ini. - Bernama

SHAH ALAM: Kedudukan kewangan Selangor masih pada tahap sihat walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis bekalan global serta turun naik pasaran dunia.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri belum melihat sebarang keperluan untuk melaksanakan langkah kecemasan berikutan prestasi kutipan hasil masih di landasan positif setakat ini.

Kutipan hasil negeri ketika ini mencecah RM1.6 bilion setakat Mei lepas yang menjadi sebahagian daripada sasaran RM2.8 bilion ditetapkan tahun ini dengan trend kutipan semasa menunjukkan perkembangan positif, katanya.

"(Setakat ini) kita belum lagi tekan ‘butang panik’ (keperluan mengambil langkah kecemasan) tetapi sentiasa memantau perkembangan setiap minggu dan bulan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Selangor juga mencatatkan lebihan RM300 juta berbanding jumlah perbelanjaan keseluruhan, hasil penjimatan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau berkata walaupun kedudukan kewangan tahun ini tidak sekukuh tahun lepas, kerajaan negeri masih yakin mampu mencapai sasaran hasil ditetapkan selain masih mempunyai kutipan rizab yang baik.

"Pada masa sama, pelbagai usaha sedang dilakukan, termasuk melalui proses pelupusan tanah, perubahan syarat nyata tanah bagi tujuan perindustrian serta kemasukan pelaburan baharu ke Selangor," katanya.

Amirudin berkata walaupun kesan sebenar ketidaktentuan ekonomi global dijangka dapat dilihat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kerajaan negeri itu sebaliknya telah mengambil pendekatan proaktif bagi mengurangkan impak kepada rakyat dan sektor ekonomi.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement