Skip to main content

Malaysia

Jenayah komersial di Seremban rekod kerugian lebih RM17 juta dalam lima bulan

fotoBERNAMA
Kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 552 kes dengan kerugian RM15.8 juta diikuti pecah amanah (10 kes, kerugian RM1.8 juta), pinjaman wang tanpa lesen (37 kes, kerugian RM4,740) dan wang palsu (12 kes, kerugian RM1,520).

SEREMBAN: Kes jenayah komersial di Seremban merekodkan 611 kes dengan kerugian RM17.6 juta dalam tempoh lima bulan setakat ini, berbanding 587 kes membabitkan kerugian RM30.1 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata kes penipuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 552 kes dengan kerugian RM15.8 juta diikuti pecah amanah (10 kes, kerugian RM1.8 juta), pinjaman wang tanpa lesen (37 kes, kerugian RM4,740) dan wang palsu (12 kes, kerugian RM1,520).

“Penipuan melibatkan pelbagai modus operandi antaranya secara dalam talian, pakej umrah palsu dan penjualan tidak wujud. Orang awam diingatkan tidak mudah terperdaya kerana sindiket ini licik dan sering menyasarkan warga emas serta pesara,” katanya.

Mohd Yatim berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini, selepas memulakan tugas sebagai ketua polis daerah berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan ACP Azahar Abdul Rahim yang bersara wajib.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kawalan Lalu Lintas) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas hari ini disaksikan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad.

Mohd Yatim berkata beliau komited meneruskan agenda kepolisan berteraskan integriti dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat termasuk memperkukuh usaha pencegahan jenayah, penguatkuasaan trafik serta membanteras penyalahgunaan dadah di daerah itu. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement