Skip to main content

Malaysia

Hamzah Zainudin kembali galas tugas Ketua Pembangkang mulai 18 Jun - Speaker

Sumber: BERNAMA
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa mulai 18 Jun lepas. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa mulai 18 Jun lepas.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata keputusan itu dibuat selepas beliau mempertimbangkan beberapa perkembangan berkaitan kedudukan Ketua Pembangkang sejak Mesyuarat Pertama Penggal yang lalu, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A(3).

"Datuk Seri Hamzah Zainudin, merupakan Ketua Pembangkang sehingga 20 Mei 2026. Selepas itu, Yang Berhormat Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, telah menyandang jawatan tersebut mulai 21 Mei hingga 10 Jun 2026. 

"Seterusnya, berkuat kuasa mulai 18 Jun 2026, Yang Berhormat Larut telah kembali memegang jawatan Ketua Pembangkang," katanya dalam pemakluman di Dewan Rakyat hari ini.

Johari turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hamzah atas pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pembangkang.

“Saya mengucapkan tahniah kepada YB Larut atas kembalinya beliau memegang jawatan Ketua Pembangkang.

“Pada masa yang sama, saya merakamkan penghargaan kepada YB Kemaman, atas khidmat dan sumbangan beliau sepanjang tempoh menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang.

“Saya juga mengalu-alukan YB Larut untuk kembali berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang demi memastikan semak dan imbang Parlimen terus berfungsi dengan berkesan,” tambahnya.

Kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal tidak berubah di barisan hadapan di blok pembangkang dan ditempatkan bersebelahan Ahli Parlimen Kemaman merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika Konvensyen Reset Malaysia memaklumkan Hamzah kembali menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai ini.

 

Must Watch Video

Advertisement