Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0 buka ruang solidariti, rentas kaum terhadap Palestin - Kapten Siva

SEPANG, 25 Mei -- Aktivis Misi Global Sumud Flotilla GSF) 2.0 Patmanathan Sivasamy atau dikenali sebagai Kapten Siva ketika berucap pada Majlis Sambutan Kepulangan Aktivis Misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kapten Siva berkata, penyertaannya dalam misi itu membuka perspektif lebih luas mengenai realiti konflik serta penderitaan yang dialami penduduk Gaza, selain memperkukuh semangat kemanusiaan merentas kaum. - Gambar Bernama

SEPANG: Pengalaman menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memperkukuh tekad aktivis berbangsa India, Patmanathan Sivasamy untuk terus bersama usaha solidariti antarabangsa bagi rakyat Palestin tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

Patmanathan atau lebih dikenali sebagai Kapten Siva berkata, penyertaannya dalam misi itu membuka perspektif lebih luas mengenai realiti konflik serta penderitaan yang dialami penduduk Gaza, selain memperkukuh semangat kemanusiaan merentas kaum.

Beliau menegaskan, isu Palestin perlu dilihat sebagai isu kemanusiaan sejagat yang menyatukan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kita berkongsi semangat kemanusiaan yang sama. Apa yang berlaku kepada rakyat Palestin memberi kesan kepada kita semua sebagai manusia,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Kapten Siva berkata, pengalaman sepanjang misi tersebut, termasuk ketika kapal dipintas dalam operasi flotila, menjadi pengajaran penting mengenai cabaran yang dihadapi dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap dorongan moral keluarga serta rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sentiasa mendoakan keselamatan peserta flotila, yang disifatkan memberi makna besar kepada perjuangan tersebut.

“Saya bangga menjadi rakyat Malaysia berbangsa India. Terima kasih kerana sudi mendoakan kami. Selepas ini saya dan keluarga lebih bertekad untuk membebaskan Palestin,” katanya.

Kapten Siva turut berkongsi bahawa pengalaman berada dalam situasi penahanan memberi gambaran jelas tentang cabaran getir dihadapi aktivis kemanusiaan, namun beliau memilih untuk kekal fokus kepada mesej kemanusiaan dan keamanan.

Beliau berkata, perjuangan tersebut bukan tentang perbezaan, sebaliknya usaha bersama mempertahankan nilai kemanusiaan serta membantu mereka yang memerlukan.

Terdahulu, seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement