Skip to main content

Malaysia

Garis panduan guna semula air sisa tanam padi akan diperkenal, kawal pencemaran sungai

Fadilah Yusof
PETRA mengadakan Mesyuarat JKKAS Bil. 1/2026 yang dipengerusikan Fadillah semalam di Menara PETRA, Putrajaya. - Foto Facebook PETRA

PUTRAJAYA: Garis panduan guna semula air sisa pelepasan penanaman padi serta penetapan piawaian pelepasan air sisa bagi aktiviti pertanian akan diperkenalkan dalam usaha memperkukuh kawalan pencemaran sungai secara lebih sistematik dan mampan, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

PETRA memaklumkan cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

"Mesyuarat turut meneliti cadangan memasukkan syarat Kajian Hidraulik Endapan Sungai ke dalam Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) bagi memastikan aktiviti pengambilan pasir tidak menjejaskan kestabilan sungai, meningkatkan risiko hakisan tebing serta memberi impak kepada kualiti air sungai," menurut kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Garis Panduan Pengurusan Indeks Pencemaran Industri Penternakan yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah memperkukuh pemantauan dan kawalan pencemaran daripada industri berkenaan.

Selain itu, PETRA memaklumkan dapatan Kajian Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran turut dibentangkan bagi mengenal pasti punca utama kemerosotan kualiti air sungai di lembangan sungai utama negara.

Menurut PETRA, mesyuarat turut menekankan kepentingan tindakan susulan yang lebih berfokus, pengukuhan penguatkuasaan, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pendekatan pengurusan lembangan sungai secara menyeluruh bagi memastikan kelestarian sumber air negara terus terpelihara.

PETRA memaklumkan mesyuarat itu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kawalan pencemaran sungai, pengurusan sumber air serta pengukuhan garis panduan dan piawaian teknikal berkaitan perlindungan sumber air negara.

Menurut kenyataan itu, kerajaan terus komited memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani cabaran global termasuk impak krisis bekalan global yang memberi tekanan kepada sektor makanan, tenaga, sumber air dan kos sara hidup rakyat.

"Selaras usaha tersebut, mesyuarat JKKAS telah diadakan hari ini bagi memperkukuh penyelarasan tindakan pengurusan dan pengawalan kualiti air sungai negara secara lebih proaktif, bersepadu dan berkesan," menurut kenyataan itu.

PETRA memaklumkan langkah itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan sumber air negara sentiasa berdaya tahan dan mampu menyokong keterjaminan keperluan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video