KUALA LUMPUR: Program Bantuan Geran “Startup Accelerator” (Uyarvu MADANI) di bawah enam inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) diyakini mampu membantu usahawan komuniti India kategori B40 dam M40 mengembangkan perniagaan mereka.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Seri N.Gobalakrishnan berkata, program itu menyediakan bantuan geran secara berfasa kepada usahawan India dalam kategori berkenaan.
"Program ini menyediakan modal permulaan, sokongan teknikal dan sambungan kepada rangkaian komersial serta mentor industri dan MAICCI akan membantu memastikan geran Uyarvu MADANI disalurkan kepada pemilik perniagaan dalam kategori B40 dan M40," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengalu-alukan enam inisiatif di bawah MITRA yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan pada Jumaat lepas melibatkan peruntukan RM65.5 juta oleh kerajaan.
Gobalakrishnan berkata, inisiatif berkenaan merangkumi pelbagai program bagi memperkasakan komuniti India, termasuk insentif pembiayaan, latihan kemahiran dan akses pasaran.
"MAICCI komited bekerjasama dengan mana-mana dewan perniagaan dan pihak berkepentingan untuk memaksimumkan impak program ini kepada usahawan India," katanya.
Beliau berkata, pendekatan pemberian bantuan secara berfasa yang disertakan dengan pemantauan dan penilaian prestasi mampu memastikan penggunaan dana yang lebih telus serta mencapai objektif yang disasarkan.
Selain itu, beliau berkata, MAICCI turut menyambut baik inisiatif lain yang diumumkan MITRA meliputi aspek pendidikan, pembangunan modal insan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan komuniti yang dijangka memberi manfaat kepada masyarakat India di Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agong MAICCI, Tharchanaa M. S. Pandian berkata, pelaburan dalam pendidikan melalui program seperti Celik MADANI dan Kalvi MADANI akan membantu meningkatkan akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda.
"Program Arogya MADANI dan Thunai MADANI pula mampu meringankan beban golongan yang memerlukan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti," katanya.
-- BERNAMA