Skip to main content

Malaysia

Diplomasi tegas, berprinsip Anwar di Gaza

MUAR, 22 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park, malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Diplomasi Anwar menolak pendekatan yang sekadar mengurus krisis. Beliau menuntut penyelesaian politik yang menyentuh akar konflik. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Krisis Gaza telah menjadi satu daripada ujian terbesar terhadap sistem antarabangsa moden. Ia bukan lagi sekadar isu hubungan Israel-Palestin, tetapi persoalan tentang kegagalan undang-undang antarabangsa, kelemahan institusi global dan ketidakupayaan kuasa besar melindungi orang awam. 

Dalam konteks inilah diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan kombinasi dasar luar yang menggabungkan ketegasan moral, hujah undang-undang, tekanan diplomatik dan bantuan kemanusiaan.

Berdasarkan data mutakhir yang diperoleh, 1,000 hari selepas perang terakhir di Gaza terdapat 73,066 kematian, 173,514 kecederaan, 5,400 kes kecacatan dan amputasi, serta 8,922 serangan terhadap keluarga.

Daripada jumlah kematian itu, 21,730 ialah kanak-kanak, manakala 45,113 kanak-kanak cedera dan 59,054 kanak-kanak menjadi yatim. Pada masa yang sama, lebih 90 peratus infrastruktur musnah, bantuan kemanusiaan disekat dan lebih 2.1 juta penduduk berdepan genosid serta kebuluran. 

Data ini penting kerana ia menunjukkan bahawa diplomasi Anwar terhadap Gaza berpijak pada fakta kemanusiaan yang jelas.

Apabila 81 peratus struktur keseluruhan rosak atau musnah, 92 peratus rumah kediaman rosak atau musnah, hampir 90 peratus infrastruktur air dan sanitasi terjejas serta 91 peratus isi rumah berdepan krisis bekalan air, maka isu Gaza sudah menjadi krisis perlindungan orang awam, krisis kesihatan awam dan krisis kemanusiaan antarabangsa. 

Dalam keadaan ini, pendekatan Anwar boleh difahami melalui beberapa lapisan diplomasi. 

Pertama, diplomasi beliau bersifat undang-undang. Pada 16 Jan 2024 umpamanya, Anwar melalui satu kenyataan menegaskan sokongan Malaysia terhadap tindakan Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung dakwaan pelanggaran Konvensyen Genosid 1948. 

Beliau menyifatkan tindakan Afrika Selatan itu sebagai langkah berani yang wajar disokong oleh masyarakat antarabangsa di samping menegaskan bahawa Israel perlu dipertanggungjawabkan. 

Ini menunjukkan bahawa Malaysia di bawah Anwar tidak hanya mengecam Israel pada pentas politik, tetapi menyokong mekanisme undang-undang antarabangsa. Pendekatan ini penting kerana tuduhan genosid perlu dibawa ke institusi yang mempunyai bidang kuasa moral dan undang-undang. 

Dengan menyokong proses Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Malaysia meletakkan isu Gaza dalam kerangka pertanggungjawaban, bukan semata-mata solidariti.

Kedua, diplomasi Anwar bersifat multilateral. Sewaktu menyampaikan kenyataan negara di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi, pada 11 Nov 2024, Anwar membawa mandat Malaysia untuk menuntut tindakan lebih tegas bagi menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin, termasuk isu bantuan kemanusiaan, sokongan kepada UNRWA dan keperluan tekanan antarabangsa terhadap negara yang terus membekalkan senjata kepada Israel. 

Kedudukan ini memperlihatkan bahawa Anwar memilih saluran diplomasi kolektif, khususnya melalui OIC dan dunia Islam untuk membina konsensus. 

Dalam isu seperti Gaza, kuasa sebuah negara sederhana seperti Malaysia mungkin terbatas, tetapi pengaruhnya boleh diperluas melalui gabungan suara antarabangsa. Inilah nilai multilateral dalam dasar luar Malaysia.

Ketiga, diplomasi Anwar bersifat kemanusiaan dan praktikal. Pada 8 Okt 2025, ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Kuala Lumpur, beliau menekankan kepentingan rundingan diplomatik, pembebasan aktivis kemanusiaan, bantuan kepada Gaza dan keperluan bertindak dengan kebijaksanaan. 

Dalam ucapan itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia mahu pembunuhan dihentikan, Gaza dibebaskan dan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada rakyat Palestin. 

Ucapan ini penting kerana sementara Anwar mengakui kemarahan rakyat Malaysia terhadap penderitaan Gaza tetapi beliau pada masa yang sama menegaskan bahawa rundingan dan diplomasi tetap perlu digunakan. 

Dalam hubungan antarabangsa, pendirian berprinsip tidak semestinya bermaksud menolak rundingan. Sebaliknya, diplomasi diperlukan supaya suara moral dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi hasil.

Keempat, diplomasi Anwar mempunyai dimensi bantuan kemanusiaan yang nyata. Pada 14 Okt 2025, ketika menyampaikan ucaptama dalam Kuala Lumpur Conference on A New Just and Humane International Order di Asian International Arbitration Centre, Kuala Lumpur, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia telah memperuntukkan RM100 juta sebagai bantuan awal kemanusiaan untuk Gaza. 

Beliau turut menyatakan Malaysia bekerjasama dengan Jepun untuk menggerakkan sokongan di Asia Timur, menyokong NGO seperti Global Sumud Flotilla dan menggunakan modal diplomatik serta politik untuk berhubung dengan rakan-rakan di Asia Barat dan wilayah lain. 

Dimensi bantuan kemanusiaan ini amat penting kerana 1.97 juta penduduk Gaza sekarang berdepan ketidakjaminan makanan akut, termasuk 641,000 orang pada tahap kebuluran atau malapetaka. 

Malah terdapat 466 kematian akibat malnutrisi, 17,800 kes malnutrisi kanak-kanak bawah lima tahun pada 2025 serta 68,996 kes malnutrisi teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun antara 2025 hingga Mei 2026. 

Kelima, Anwar mengemukakan kritik terhadap hipokrasi antarabangsa. Dalam ucapan di AIAC pada 14 Okt 2025, beliau menegaskan bahawa Gaza menjadi contoh paling jelas kegagalan nurani antarabangsa apabila undang-undang disebut tetapi tidak dikuatkuasakan, hospital dimusnahkan, bantuan disekat dan orang awam terus menjadi mangsa. 

Beliau turut menyatakan bahawa apabila undang-undang digunakan secara selektif, undang-undang itu bertukar menjadi propaganda. 

Hujah ini penting kerana ia memperlihatkan bahawa diplomasi Anwar bukan hanya mengenai Palestin, tetapi mengenai struktur sistem antarabangsa. 

Beliau mempersoalkan mengapa prinsip hak asasi manusia, demokrasi dan undang-undang antarabangsa sering dikuatkuasakan secara berbeza mengikut kepentingan kuasa besar. 

Dengan itu, Gaza dijadikan contoh kegagalan moral sistem antarabangsa yang lebih luas.

Keenam, diplomasi Anwar tidak berhenti pada gencatan senjata. Pada 16 April 2026, dalam sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Kuala Lumpur, Anwar menegaskan bahawa gencatan senjata di Gaza tidak boleh menjadi alasan untuk dunia mengalihkan pandangan.

Menurut beliau, pembunuhan dan kelaparan belum benar-benar terhenti, penempatan di Tebing Barat terus berkembang dan rakyat Palestin memerlukan penyelesaian adil serta berkekalan melalui sebuah negara Palestin yang berdaulat dan berdaya maju. 

Pendirian ini memperlihatkan pemikiran dasar luar yang lebih menyeluruh. Gencatan senjata hanya menghentikan keganasan sementara. 

Ia tidak menyelesaikan isu pendudukan, sekatan, hak rakyat Palestin, kedaulatan wilayah dan pembinaan semula Gaza. 

Oleh itu, diplomasi Anwar menolak pendekatan yang sekadar mengurus krisis. Beliau menuntut penyelesaian politik yang menyentuh akar konflik.

Dalam konteks kesihatan awam, 40 hospital menjadi sasaran, 158 pusat penjagaan kesihatan primer turut menjadi sasaran, 825 pelanggaran terhadap kemudahan kesihatan direkodkan, 1,723 petugas kesihatan terbunuh dan 362 petugas kesihatan ditahan. 

Ini menunjukkan keruntuhan sistem kesihatan Gaza bukan kesan sampingan kecil tetapi sebahagian daripada krisis kemanusiaan yang sistemik. 

Dari sudut teori hubungan antarabangsa, pendekatan Anwar boleh dibaca sebagai “ketidakberpihakan aktif”. Dalam ucapan di AIAC, beliau menjelaskan bahawa pendekatan Malaysia bukan neutraliti pasif atau keengganan memilih pendirian. 

Sebaliknya, ia ialah kebebasan memilih berdasarkan prinsip, nilai dan kepentingan negara. 

Dalam isu Gaza, prinsip tersebut ialah perlindungan orang awam, penolakan genosid, akses bantuan kemanusiaan, pertanggungjawaban undang-undang dan pengiktirafan hak Palestin untuk hidup sebagai negara berdaulat.

Pendekatan ini memberi kekuatan kepada Malaysia. Walaupun Malaysia bukan kuasa besar ketenteraan dan bukan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, tetapi ia mempunyai modal moral, suara diplomatik, jaringan dunia Islam, hubungan ASEAN dan hubungan dengan negara-negara Global South

Di sinilah diplomasi Anwar berfungsi untuk memastikan isu Gaza tidak dinormalisasi sebagai tragedi yang boleh diterima oleh dunia.

Kesimpulannya, diplomasi Anwar terhadap Gaza mempunyai beberapa kekuatan utama. 

Ia berasaskan data kemanusiaan, berpaksikan undang-undang antarabangsa, digerakkan melalui platform multilateral, disertai bantuan kemanusiaan, mengkritik dwistandard kuasa besar dan menuntut penyelesaian politik yang berkekalan. 

Malaysia mungkin tidak mampu menghentikan krisis Gaza seorang diri, tetapi Malaysia boleh memastikan penderitaan Gaza terus dibawa ke mahkamah, persidangan antarabangsa, ruang diplomatik dan kesedaran masyarakat dunia. 

Itulah sumbangan utama diplomasi Anwar, iaitu menukar solidariti kepada tindakan yang boleh dipertanggungjawabkan.

-- BERNAMA  


*Profesor Dr. Mizan Aslam ialah Profesor Kehormat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

 

 

Must Watch Video

Advertisement