KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 ditangguhkan hari ini selepas bersidang selama 16 hari sejak 22 Jun lepas.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dalam ucapan penangguhannya berkata mesyuarat itu menyaksikan sebanyak 13 rang undang-undang (RUU) dan beberapa usul diluluskan selain membahaskan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 2024.
Antaranya ialah RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Jenayah Siber 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 dan RUU Profesion Kerja Sosial 2026.
Selain itu, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026, RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 dan RUU Statistik 2026.
Johari berkata tiga sesi penerangan daripada menteri-menteri, satu penerangan menteri di Kamar Khas dan enam sesi penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai penyata-penyata yang dibentangkan turut diadakan di Dewan Rakyat.
Beliau sekali lagi mengingatkan Ahli Parlimen supaya melaksanakan pemeriksaan kesihatan sebelum 30 Okt ini dan mengemukakan rekod kesihatan masing-masing bagi simpanan di Parlimen.
“Saya berharap Ahli Berhormat dapat menjaga kesihatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Johari turut memaklumkan Parlimen Malaysia akan menganjurkan Larian Cergas Parlimen 2026 pada 25 Julai ini untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat serta memperkukuh penglibatan komuniti dalam aktiviti yang berteraskan kesihatan dan kecergasan.
Katanya program itu terbuka kepada semua Ahli Parlimen, warga Parlimen, peserta program Parlimen Belia Malaysia dan orang awam.
Sebelum mengakhiri ucapan, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang telah memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh persidangan selain menghargai sumbangan para pegawai kerajaan, warga Parlimen, wakil media dan semua pihak yang terlibat dalam pengendalian urusan majlis mesyuarat itu.
Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
-- BERNAMA