Skip to main content

Malaysia

CAAM syor pengubahan jajaran landasan padang terbang Pulau Tioman dikaji semula

lapangan terbang pulau tioman -- Anas Alwi
Penilaian mendapati wujud kekangan utama daripada faktor halangan semula jadi di sekitar kawasan terbabit, termasuk topografi berbukit dan tanah tinggi yang menjejaskan permukaan had halangan. - Gambar fail/ Anas Alwi

KUANTAN: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesyorkan supaya cadangan pengubahan jajaran landasan padang terbang di Pulau Tioman dikaji semula secara menyeluruh. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata ia bagi memastikan sebarang pembangunan atau naik taraf landasan mematuhi sepenuhnya peraturan dan piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan perkhidmatan penerbangan ke Pulau Tioman tertakluk pada aspek teknikal dan keselamatan penerbangan yang berada di bawah bidang kuasa CAAM.

“Berdasarkan maklum balas rasmi CAAM, penilaian teknikal yang telah dilaksanakan mendapati cadangan itu tidak dapat memenuhi keperluan piawaian keselamatan penerbangan yang ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri dapat membantu mewujudkan semula Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pengangkutan udara dari Kuala Lumpur, Kuantan atau Singapura ke Pulau Tioman.

Leong berkata penilaian tersebut mengambil kira aspek perkhidmatan navigasi udara, piawaian aerodrom serta operasi penerbangan dan mendapati wujud kekangan utama daripada faktor halangan semula jadi di sekitar kawasan terbabit, termasuk topografi berbukit dan tanah tinggi yang menjejaskan permukaan had halangan.

“Justeru, cadangan pengubahan jajaran landasan yang dikemukakan didapati masih belum dapat menyelesaikan isu asas berkaitan keselamatan operasi penerbangan di Pulau Tioman,” katanya. 

Sementara itu, Leong berkata kerajaan negeri tetap komited untuk terus meneliti dan meneroka pelbagai alternatif lain yang lebih praktikal serta selamat bagi meningkatkan ketercapaian ke pulau peranginan itu.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan CAAM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pengangkutan selain agensi berkaitan untuk menilai pelbagai pilihan termasuk kebolehlaksanaan model pengangkutan udara yang bersesuaian.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM47 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.

--BERNAMA

 

Must Watch Video