Skip to main content

Malaysia

BAGUS dilaksana segera bagi perluas akses bantuan guaman syarie - PGSM

[TB]_presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang_FB Musa Awang
MUSA: PGSM yang mempunyai rangkaian di seluruh negara dijangka mampu menawarkan penyelesaian kepada masyarakat menerusi dana yang disediakan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan melaksanakan segera Program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) selepas menerima peruntukan RM1.5 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Presiden persatuan itu Musa Awang berkata golongan memerlukan bantuan guaman syarie tetapi tidak berkemampuan boleh mendapatkan khidmat representasi melalui PGSM dengan sokongan dana yang disalurkan kerajaan itu.

Beliau berkata menerusi BAGUS, PGSM akan menyediakan panel peguam syarie kepada golongan tidak berkemampuan dari segi kewangan untuk melantik peguam dengan memberikan khidmat nasihat atau mewakili mereka di Mahkamah Syariah.

“Pihak persatuan akan segera melaksanakan program tersebut dan membuat pengumuman kepada masyarakat mengenainya setelah dana disalurkan. 

“PGSM yang mempunyai rangkaian di seluruh negara dijangka mampu menawarkan penyelesaian kepada masyarakat menerusi dana yang disediakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, Anwar ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026,  mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada PGSM bagi memperluas akses bantuan guaman syarie kepada golongan kurang berkemampuan melalui BAGUS.

Perdana Menteri berkata akses kepada keadilan perlu diberi perhatian kerana masih ramai, khususnya golongan miskin dan ibu tunggal yang berdepan kesukaran mendapatkan representasi guaman di Mahkamah Syariah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement