Skip to main content

Malaysia

Anak rayu saksi tampil bantu siasatan kemalangan bapa

Keadaan bapanya semasa kemalangan dan ketika menerima rawatan di hospital. -- SINAR HARIAN
Keadaan mangsa semasa kemalangan dan ketika menerima rawatan di hospital.

MELAKA: Seorang wartawan portal berita di negeri ini memohon orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kemalangan melibatkan bapanya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Bukit Katil pada Jumaat tampil membantu siasatan.

Wartawan berkenaan, Norafiqah Jamal, 33, berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 pagi hingga 7.15 pagi ketika bapanya, Jamal Ibrahim, 68, baru selesai menghantar cucunya ke sekolah.

Menurutnya, bapanya yang menunggang motosikal Modenas Kriss MR2 110cc dipercayai dilanggar sebuah Perodua Ativa berwarna merah yang dipandu seorang wanita.

“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenderaan itu berhenti atau meninggalkan lokasi kejadian kerana berdasarkan gambar dan video diterima, tiada Perodua Ativa merah dilihat berada di lokasi untuk membantu ayah saya,” katanya.

Tambahnya, laporan polis masih belum dibuat berikutan bapanya kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau memohon orang ramai yang melalui kawasan berkenaan pada waktu kejadian dan mempunyai rakaman dashcam agar tampil membantu keluarga mereka.

“Sekiranya ada rakaman video dashcam kejadian atau kenderaan yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku, mohon jasa baik untuk berkongsi rakaman bagi membantu siasatan dan urusan keluarga kami.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi saya di talian 016-4740103,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement