Skip to main content

Malaysia

Agong lantik Pendakwa Raya tanpa campur tangan PM antara syor pindaan - Azalina

81698058108_AzalinaOthman.jpg
Azalina (foto) berkata syor lain termasuk tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula dan kewajipan untuk Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), tanpa melibatkan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, merupakan antara syor penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata syor berkenaan dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Dewan Rakyat bagi RUU itu, yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“(Syor seterusnya) proses pelantikan yang lebih telus dengan penglibatan Parlimen, iaitu nama calon dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen untuk membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Azalina berkata syor lain termasuk tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula dan kewajipan untuk Pendakwa Raya mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi. 

Selain itu, JKP turut mengemukakan syor penetapan Kod Etika khusus bagi Pendakwa Raya, dengan pelanggaran kod tersebut boleh menjadi satu daripada alasan untuk penyingkiran daripada jawatan dan peruntukan yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkaitan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Feb lepas.

Sejak pembentangan itu, Azalina yang juga pengerusi JPK berkenaan berkata pelbagai pandangan, cadangan dan maklum balas yang membina telah diterima daripada Ahli-Ahli Parlimen serta pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan reformasi berkenaan.

“Kami sedang menyiapkan jalan baharu untuk negara kita… Parlimen mesti berpartisipasi. Itulah sebabnya kami berdebat selama berbulan-bulan…Saya harap pemerintah (Ahli Parlimen) di kedua-dua sisi akan menerima ini sebagai perubahan sebenar untuk reformasi yang sebenar untuk negara ini,” katanya.

Beliau berkata JPK tersebut terdiri daripada Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, sekali gus mencerminkan pendekatan dwipartisan dalam meneliti reformasi institusi yang penting kepada negara.

Sepanjang tempoh penelitian, Azalina berkata JPK turut menerima pembentangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung aspek perlembagaan, perundangan, pentadbiran dan pelaksanaan reformasi ini, selain turut mendapatkan maklum balas daripada badan profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil.

“Pendekatan ini membolehkan jawatankuasa meneliti cadangan tersebut daripada pelbagai sudut, termasuk implikasi perlembagaan, operasi, pentadbiran, sumber manusia, kewangan serta pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan model serupa,” katanya.

Justeru, Azalina berkata kerajaan berharap mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang memerlukan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat.

Beliau berkata sokongan itu penting bagi memastikan reformasi yang telah diteliti secara terperinci oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Dewan Rakyat berkaitan perkara berkenaan dapat direalisasikan.

“Saya perlukan dua per tiga (majoriti). Jika saya tidak dapatkan dua per tiga lagi, saya tidak boleh menentukan konstitusi. Tetapi saya percaya masyarakat mesti menekankan pemerintah untuk menyokong pindaan ini.

“Yang paling penting ialah kalau kita terlepas pada sesi kali ini, saya takut, (bila) kita bercakap tentang reformasi ini, kita ketinggalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement