Skip to main content

Malaysia

5,364 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci

Sumber: BERNAMA
Jemaah haji Malaysia disambut di hotel penginapan mereka di Mekah selepas enam hari berada di Madinah. - Gambar/ Bernama

MEKAH: Seramai 5,364 jemaah haji Malaysia dilaporkan selamat tiba di Tanah Suci setakat jam 12 tengah malam tadi, hasil kelancaran operasi penerbangan yang dilaksanakan secara berperingkat.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, operasi haji jemaah dari Malaysia berjalan lancar dan terkawal mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, sebanyak 19 penerbangan yang membawa jemaah Malaysia telah tiba dengan selamat, manakala satu lagi penerbangan berlepas ke Madinah hari ini.

“Tabung Haji sentiasa memantau pergerakan jemaah dari semasa ke semasa bagi memastikan semua perancangan operasi berjalan seperti ditetapkan, selain memastikan kebajikan jemaah sentiasa terjaga,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Mohd Hisham berkata lebih banyak penerbangan dijadualkan membawa baki jemaah secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Operasi Haji 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April lepas, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Must Watch Video