LONDON: Tekanan terhadap Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer, semakin memuncak selepas lebih 70 Ahli Parlimen daripada Parti Buruh dilaporkan menggesa beliau meletakkan jawatan, dengan sebahagian daripada mereka mendakwa Starmer telah “kehilangan autoriti” dalam parti.
Pada Isnin (11 Mei), Starmer berikrar untuk membuktikan pengkritiknya salah dan menangkis desakan supaya beliau berundur, susulan keputusan buruk dalam pilihan raya tempatan dan serantau yang menyaksikan prestasi merosot Parti Buruh.
Bagaimanapun, janji Starmer untuk menjadikan parti itu lebih berani dan mantap gagal meyakinkan sekurang-kurangnya 55 daripada kira-kira 400 Ahli Parlimen Buruh, termasuk tiga pembantu kerajaan yang memilih untuk meletakkan jawatan dan secara terbuka menggesanya berundur.
Joe Morris, Setiausaha Peribadi Parlimen kepada Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting yang sering disebut-sebut sebagai pencabar kepimpinan, menulis di platform X bahawa kini jelas Starmer “tidak lagi mempunyai kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk memimpin perubahan.”
Seorang lagi Ahli Parlimen, Tom Rutland, pembantu kepada Setiausaha Alam Sekitar Emma Reynolds berkata, Starmer telah hilang kewibawaan dalam kalangan Ahli Parlimen Buruh dan “tidak akan mampu memulihkannya semula.”
Mengikut peraturan parti, sebarang cabaran kepimpinan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 81 Ahli Parlimen Buruh, bersamaan 20 peratus wakil parti di Parlimen, untuk mencetuskan pemilihan kepimpinan.
Namun langkah itu dijangka mencetuskan perpecahan dalaman yang merugikan, dengan kelompok kiri dan kanan parti bersaing merebut kedudukan.
Starmer, 63, hanya mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Julai 2024 selepas kemenangan besar Parti Buruh menamatkan 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif yang dicemari dasar penjimatan, perbalahan mengenai Brexit serta pengendalian pandemik COVID-19.
Namun, kepimpinannya dilihat dibelenggu pelbagai kesilapan dasar, selain tercalar akibat kontroversi pelantikan dan pemecatan Peter Mandelson sebagai Duta UK ke Washington, susulan pendedahan hubungan Mandelson dengan pesalah seksual Jeffrey Epstein.
Walaupun Starmer menerima pujian kerana tegas terhadap Presiden AS, Donald Trump, berhubung isu Iran, beliau setakat ini gagal merangsang pertumbuhan ekonomi bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat Britain.
Pilihan raya tempatan minggu lalu pula menjadi tamparan hebat kepada pentadbirannya, apabila Parti Reform UK berhaluan kanan keras serta Parti Greens berhaluan kiri meraih keuntungan besar atas kerugian Parti Buruh.
Parti Buruh turut kehilangan kawalan ke atas Parlimen Wales kepada parti nasionalis Plaid Cymru buat pertama kali sejak penubuhannya pada 1999, selain gagal menyaingi Parti Kebangsaan Scotland (SNP) di Parlimen Scotland.
Dalam ucapan pada Isnin, Starmer mengakui kekecewaan rakyat terhadap keadaan negara, landskap politik dan kepimpinannya sendiri.
Beliau berjanji akan memberikan “tindakan yang lebih besar” berbanding perubahan kecil, termasuk dalam aspek pertumbuhan ekonomi, hubungan lebih rapat dengan Eropah dan sektor tenaga.
Starmer turut berikrar akan mengambil alih sepenuhnya British Steel dan dalam kritikan paling keras terhadap Brexit sejak 2020, menyatakan bahawa keputusan keluar dari Kesatuan Eropah telah menjadikan Britain lebih miskin, lemah dan tidak selamat.
Beliau juga menyelar pemimpin Reform UK, Nigel Farage, sebagai oportunis yang kempen pro-Brexitnya telah memperdaya Britain, sambil memberi amaran negara itu boleh menuju ke arah yang gelap sekiranya pembaharuan gagal dilaksanakan.
Dalam perkembangan lanjut, Ahli Parlimen Catherine West yang sebelum ini mengancam mencetuskan cabaran kepimpinan memaklumkan, beliau kini mengumpul sokongan untuk menetapkan garis masa pemilihan pemimpin baharu pada September.
Starmer pula memberi amaran Parti Buruh tidak akan dimaafkan pengundi sekiranya meniru “kekacauan” Parti Konservatif, yang menyaksikan lima perdana menteri bertukar sejak 2010.
Spekulasi terus berlegar bahawa Wes Streeting dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner berpotensi menggugat kepimpinan Starmer, namun kedua-duanya tidak mempunyai sokongan menyeluruh dalam parti tersebut.
Ketiadaan pengganti yang jelas dilihat memberi ruang kepada Starmer untuk terus bertahan, lebih-lebih lagi apabila pilihan raya umum seterusnya hanya dijangka berlangsung pada 2029.
Beliau dijadualkan membentangkan pelan perundangan lebih terperinci dalam Ucapan Diraja pada Rabu. - Agensi